Saya faham betul peruntukan perlembagaan, yang tak faham Anwar — Muhyiddin


  • Politik
  • Khamis, 11 Jul 2024

Anwar (kiri) mempertahankan keputusan yang dibuat Johari mengenai kedudukan enam Ahli Parlimen Bersatu yang dikekalkan.

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan beliau tidak memahami undang-undang Perlembagaan Persekutuan mengenai Akta Anti Lompat Parti secara menyeluruh.

Muhyiddin berkata, Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan mana-mana ahli Parlimen yang terhenti menjadi ahli partinya (ceases to be a member), maka kerusinya di Dewan Rakyat hendaklah dikosongkan.

"Anwar kata saya baca sebahagian saja daripada perlembagaan. Saya nak tanya Anwar bahagian mana yang saya tak baca itu?

"Saya faham betul peruntukan perlembagaan ini. Yang tak faham ialah Anwar," katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Khamis.

BACA LAGI: Kedudukan 6 MP bekas Ahli BERSATU, Speaker bertindak ikut Perlembagaan — PM Anwar

BACA LAGI: PN letak calon BERSATU di PRK DUN Nenggiri — Muhyiddin

Menurut Muhyiddin, selaras dengan peruntukan tersebut, BERSATU membuat pindaan perlembagaan parti untuk memasukkan keadaan yang mana wakil rakyat parti berkenaan terhenti keahliannya serta-merta apabila gagal mematuhi arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Ujarnya, antara arahan bertulis yang diberikan kepada mereka termasuk menarik semula sokongan yang diberikan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri kerana itu bercanggah dengan dasar parti dan mandat rakyat yang memilih mereka.

"Kalau mereka menarik balik sokongan dan kembali ke pangkal jalan dalam tempoh yang ditetapkan dalam arahan tersebut, maka mereka kekal sebagai ahli parti dan sebagai ahli Parlimen.

"Itulah semangat yang tersurat dan tersirat dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

"Masalahnya mereka dengan sengaja tidak mematuhi arahan parti dengan berterusan menyokong parti lawan.

"Maka terhentilah keahlian mereka dalam BERSATU serta-merta mengikut peruntukan Fasal 10.4 Perlembagaan BERSATU dan berlakulah kekosongan kerusi mereka di Dewan Rakyat menurut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan," tegasnya.

Media pada Khamis melaporkan, Anwar mempertahankan keputusan yang dibuat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenai kedudukan enam Ahli Parlimen Bersatu yang dikekalkan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut meminta Muhyiddin untuk membaca tafsiran undang-undang Perlembagaan Persekutuan mengenai Akta Anti Lompat Parti secara menyeluruh dan bukan sebahagiannya sahaja.

Anwar berkata, ketetapan dibuat Johari tersebut adalah berlandaskan undang-undang yang memberi kuasa kepada Speaker untuk membuat keputusan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram