PN letak calon BERSATU di PRK DUN Nenggiri — Muhyiddin


  • Politik
  • Jumaat, 28 Jun 2024

Muhyiddin berkata, keputusan itu telah dibuat lebih awal kerana Nenggiri adalah kerusi BERSATU.

PERIKATAN Nasional akan diwakili calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang akan berlangsung pada 17 Ogos depan.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu telah dibuat lebih awal kerana Nenggiri adalah kerusi BERSATU.

“Kita sudah mula menggerakkan jentera untuk fasa awal, dan tugas lain akan menyusul termasuk mengenal pasti calon paling sesuai daripada Bersatu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi minum petang bersama masyarakat di kawasan Taman Puteri Gunong di Simpang Ampat, Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Khamis.

BACA LAGI: Johor bukan rakan kongsi istimewa seperti Sabah dan Sarawak — Pakar Perlembagaan

BACA LAGI: Rafizi, Isham individu tepat berdebat, selesai polemik rasionalisasi subsidi bahan api — Penganalisis

Turut hadir calon Perikatan bagi PRK Sungai Bakap, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian bagi PRK Nenggiri pada 17 Ogos, dengan proses pencalonan dan pengundian awal masing-masing dijadualkan pada 3 Ogos dan 13 Ogos.

Sebelum ini Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN itu kosong bermula 19 Jun lalu

Kekosongan kerusi Nenggiri itu diumumkan selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-undang Tubuh Kelantan daripada ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun lalu.

Mengenai keputusan bekas ahli Parlimen Jeli dan pemimpin BERSATU, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengesahkan untuk tidak kembali aktif dalam politik, Muhyiddin yang juga pengerusi PN berkata, parti menghormati keputusan terbabit.

Mustapa dalam satu kenyataan berkata, beliau sudah meletak jawatan sebagai ahli dan daripada semua jawatan dalam Bersatu pada 30 September tahun lalu dan kekal teguh dalam keputusannya untuk bersara daripada politik selepas memilih untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-15. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram