[VIDEO] Penolong pegawai perubatan wanita maut, ambulans langgar belakang treler


  • 112
  • Isnin, 08 Jul 2024

Siasatan mendapati kejadian itu dipercayai berlaku selepas ambulans tersebut melanggar bahagian belakang treler.

SEORANG penolong pegawai perubatan wanita dilaporkan maut selepas ambulans swasta yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer KM330.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Tapah, Perak pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, kejadian pada pukul 4.30 pagi itu mengakibatkan mangsa, seorang wanita berusia 30 tahun yang duduk di bahagian penumpang tersepit sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, sementara itu pemandu ambulans hanya mengalami kecederaan ringan.

BACA LAGI: Kemasukan matrikulasi: Penekanan berlebihan terhadap meritokrasi berpotensi tingkat jurang sosioekonomi

BACA LAGI: Aktivis politik kena panggil polis dan MCMC, Tian Chua kritik kebebasan bersuara makin terancam sekarang

"Ketika kejadian ambulans berkenaan dalam perjalanan pulang dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras ke Ipoh selepas selesai menghantar pesakit.

"Treler terbabit pula dalam perjalanan dari Klang menuju ke Bukit Mertajam untuk menghantar barangan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku selepas ambulans yang dipandu seorang lelaki berumur 41 tahun melanggar bahagian belakang treler yang dipandu lelaki, 32, di laluan sebelah kiri jalan.

Ujarnya, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk tindakan lanjut.

"Punca kemalangan masih lagi dalam siasatan pihak polis.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sehubungan itu, orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat kes di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, Inspektor Mohd Faizan Ahmad @ Mohamad Razikin di talian 013-2087919 bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram