[VIDEO] Kapal karam akibat tank bocor, 10 kru termasuk kapten cemas sebelum diselamatkan Maritim Malaysia


  • 112
  • Isnin, 08 Jul 2024

KRU termasuk kapten Kapal MV KUM JIN terselamat dalam insiden kapal karam di kedudukan 2.1 batu nautika Barat Tanjung Rhu pada awal pagi Isnin. — Maritim Malaysia

SERAMAI 10 kru termasuk kapten Kapal MV KUM JIN terselamat dalam insiden kapal karam di kedudukan 2.1 batu nautika Barat Tanjung Rhu pada awal pagi Isnin.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, walaupun dalam keadaan cuaca buruk, bot Perkasa 36 Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi kejadian bagi membantu kesemua kru dan kapten kapal.

Dalam kejadian pukul 3.35 pagi itu, kesemua mangsa terlibat dipindahkan ke bot keselamatan susulan kebocoran di bahagian hadapan ballast tank sebelah kiri yang agak teruk.

BACA LAGI: Bot nelayan karam Segenting: Peluang masih hidup tetap ada — Maritim

BACA LAGI: Mangsa kedua bot nelayan karam Tanjung Segenting ditemukan terdampar di Pantai Koris

“Anggota Maritim Malaysia membantu memindahkan kesemua kru termasuk kapten ke atas bot Perkasa 36 sebelum dibawa ke Jeti Pangkalan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan kesihatan.

“Hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengenalan diri mendapati kapten kapal merupakan seorang warga Indonesia berusia 53 tahun, manakala kru kapal warga Indonesia dan Myanmar berusia 19 hingga 50 tahun.

"Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit yang sah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Maritim Malaysia turut menasihati orang ramai terutamanya komuniti maritim agar sentiasa cakna dengan perubahan cuaca dan aspek keselamatan di laut.

Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia di talian 03-89957820 untuk maklum balas segera. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram