Mangsa kedua bot nelayan karam Tanjung Segenting ditemukan terdampar di Pantai Koris


  • 112
  • Ahad, 23 Jun 2024

Mayat kedua ditemukan terdampar di Pantai Koris, kira-kira 12 batu nautika dari lokasi bot terbalik. 

MAYAT kedua mangsa insiden bot nelayan terbalik yang dilaporkan hilang di perairan Tanjung Segenting, Batu Pahat, Johor ditemukan oleh orang awam pada 11.30 pagi, Ahad.

Pengarah Maritim Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yusuf berkata, mayat Tan Hai Lian, 62, ditemukan terdampar di Pantai Koris, kira-kira 12 batu nautika dari lokasi bot terbalik.

"Mayat mangsa kemudian diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan.

BACA LAGI: Mangsa pertama bot nelayan karam Tanjung Segenting ditemukan lemas

BACA LAGI: 'Ada gaduh-gaduh', pergelangan tangan putus ditemui di lokasi kereta terbakar di Ipoh

Beliau berkata Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) yang memasuki hari ketiga menetapkan sektor pencarian merangkumi keluasan 129 batu nautika di laut dan keluasan 104 batu nautika oleh pesawat udara dan dimulakan pada 7 pagi.

Pada Jumaat, lima nelayan tempatan berusia antara 43 hingga 63 tahun hilang selepas bot dinaiki mereka karam di 6.8 batu nautika (12.6km) barat daya Tanjung Segenting apabila dilanda ombak kuat ketika cuaca buruk.

“Terdahulu, empat nelayan dilaporkan hilang dan seorang berjaya diselamatkan oleh nelayan lain setelah bot yang mereka naiki terbalik akibat cuaca buruk Jumaat lepas,” menurutnya dalam kenyataan.

Seorang nelayan, Tan Siak Bin, 43, diselamatkan oleh nelayan lain kira-kira pukul 8 pagi Sabtu manakala mayat Chiah Kah Chong, 51, ditemui pada pukul 7 malam pada hari sama oleh nelayan yang kebetulan lalu di kawasan berhampiran bot terbalik.

Dua mangsa masih hilang iaitu Lee Poh Ling, 68, dan Daud Darus Hamid, 53.

Dalam perkembangan berbeza, Mohd Haniff juga berkata Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat Johor Bahru telah menerima makluman daripada Jabatan Laut Malaysia mengenai insiden seorang penumpang feri MV Cas terjatuh ke dalam laut di kedudukan 16 batu nautika Parit Jawa, Muar.

Beliau berkata Juli Afriko, 30, yang juga warga Indonesia, dilaporkan terjatuh pada kira-kira 3 petang ketika feri yang dinaiki mangsa dalam perjalanan ke Bengkalis.

“Berikutan kejadian tersebut, Zon Maritim Batu Pahat telah menggerakkan sebuah bot ronda Maritim Malaysia bagi melaksanakan OP Carilamat di lokasi terakhir mangsa dilaporkan terjatuh laut bagi melakukan pencarian,” katanya.

Pencarian dibahagikan kepada sembilan sektor iaitu enam membabitkan laut serta tiga membabitkan udara dengan bantuan pesawat MI 171 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selain pesawat AW 139 milik Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram