POLIS menahan seorang wanita kerana didakwa membuat ugutan dalam talian terhadap mendiang pempengaruh media sosial dan aktivis Rajeswary Appahu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, seorang lelaki berusia 39 tahun membuat laporan pada 6 Julai mengenai ugutan yang didakwa dibuat terhadap Rajeswary.
“Pengadu melihat dua catatan di TikTok yang dimuat naik oleh dua pengguna di bawah nama Dulal Brothers dan Alphaquinnsha yang memfitnah dan mengugut Rajeswary.
BACA LAGI : [VIDEO] Influencer wanita retak tulang belakang dirempuh kereta ketika 'live' di China
"Kedua-dua akaun menggunakan foto Rajeswary sebagai latar belakang untuk video yang dimuat naik pada akaun mereka.
"Video itu mengandungi ancaman terhadap Rajeswary dan menggunakan bahasa lucah," katanya sambil menambah bahawa siaran itu kemudiannya dipadamkan.
Beliau berkata, polis menahan suspek wanita berusia 35 tahun di Bukit Beruntung Golf Resort.
“Suspek akan direman di ibu pejabat polis Sentul sehingga 10 Julai ini,” katanya.
Terdahulu, Rajeswary telah membuat laporan polis pada 4 Julai lalu berhubung ugutan yang dibuat terhadapnya sebelum kematiannya.
Aktivis hak asasi Hindu berusia 30 tahun itu menamakan dua individu dalam laporan yang dibuat di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur mendakwa mereka membuli dan membuat komen-komen jelik terhadap dirinya di media sosial.
Rajeswary ditemui mati di apartmennya sehari selepas dia membuat laporan.
Mereka yang mengalami masalah kesihatan mental atau terfikir untuk membunuh diri boleh menghubungi Perkhidmatan Sokongan Psikososial Kesihatan Mental (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999 atau 019-261 5999 di WhatsApp); Pusat jagaan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim (011-1959 8214 di WhatsApp); dan Befrienders Kuala Lumpur (03-7627 2929, layari www.befrienders.org.my/centre-in-malaysia untuk senarai penuh nombor dan waktu operasi, atau e-mel [email protected]. — The Star /Justin Zack