[VIDEO] Brek tak makan, pemandu lori maut terperosok dalam kedai lepas rempuh 2 kenderaan di Jerantut


  • Tular
  • Sabtu, 06 Jul 2024

Seorang pemandu lori dipercayai maut selepas kenderaan berat dipandunya itu merempuh kenderaan lain dan premis kedai di Bandar Lama Jerantut pada Sabtu.

SEORANG pemandu lori dipercayai maut selepas kenderaan berat dipandunya itu merempuh kenderaan lain dan premis kedai di Bandar Lama Jerantut, Pahang pada Sabtu.

Kemalangan itu juga berjaya dirakam kamera papan pemuka (Dashcam) kenderaan lain yang berada di tempat kejadian.

Berdasarkan maklumat yang awal yang dikongsikan di laman media sosial dan data yang tertera di dashcam tersebut, kejadian itu berlaku pada 2.45 petang.

BACA LAGI: [VIDEO] Influencer wanita retak tulang belakang dirempuh kereta ketika 'live' di China

BACA LAGI: [VIDEO] Padah bermulut puaka, enggan bayar hutang lelaki maut dibakar rakan di Kemboja

Melalui rakaman berdurasi kurang seminit yang dikongsikan di laman media sosial Facebook, Mohd Faizul Mohd Idris memaparkan lori tersebut meluru laju di sebuah persimpangan sebelum merempuh sebuah van.

Kenderaan berat itu kemudiannya merempuh lagi sebuah kenderaan lain sebelum terperosok ke dalam sebuah kedai.

Turut kelihatan seorang lelaki dilihat merangkak keluar daripada van yang dilanggar selepas kejadian.

Menjengah ke ruangan komen, seorang warga maya Muhd Mikhael mendakwa lori berkenaan hilang kawalan dipercayai mengalami masalah brek.

"Saksi kata brek lori tak makan, terus hilang kawalan. Nasib baik orang lain yang kena langar itu selamat. Hati-hati semua di jalan raya," tulisnya.

Sementara itu, Mohd Faizul Mohd Idris berkata pemandu lori yang tidak didedahkan namanya itu meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu Melayu, meninggal dunia di lokasi," tulisnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad mengesahkan mengenai kejadian.

Katanya, insiden itu berlaku ketika lori dipandu mangsa dalam arah perjalanan dari persimpangan lampu isyarat Dato Bahaman menuju ke Jalan Bandar Lama.

Sebaik tiba di tempat kejadian, beliau berkata, pemandu lori yang membawa muatan tar itu gagal mengawal kenderaan.

"Lori terbabit telah melanggar sebuah van yang sedang bergerak dipandu seorang lelaki, sebuah kereta yang diparkir dan sebuah kedai kosong.

"Dalam kejadian ini, pemandu lori telah tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, pemandu van mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan lanjut di Hospital Jerantut sementara premis kedai terbabit tidak berpenghuni ketika kejadian.

Zukri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram