[VIDEO] Tak puas hati punca pengusaha kedai runcit di Kulim lunyai kena pukul dengan kayu


  • 112
  • Ahad, 07 Jul 2024

Tangkap layar seorang pengusaha kedai runcit dipukul menggunakan sebatang kayu dalam satu kejadian samun di Sungai Karangan di Kulim, Kedah pada Sabtu.

SEORANG lelaki dipercayai cedera parah dalam satu kejadian pukul dalam sebuah kedai runcit di Sungai Karangan dekat Kulim, Kedah pada Sabtu.

Kejadian malang itu juga berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan yang diletakkan di tepi kaunter pembayaran.

Melalui klip video yang dikongsikan, mangsa yang juga pemilik kedai runcit tersebut dilihat sedang melayan beberapa pelanggan.

BACA LAGI: [VIDEO] Saksi mengucap panjang lihat motor tiba-tiba rempuh belakang lori di Kota Damansara

BACA LAGI: [VIDEO] Influencer wanita retak tulang belakang dirempuh kereta ketika 'live' di China

Pelaku yang menggunakan topi keledar tiba-tiba datang dan terus memukulnya berkali-kali menggunakan sebatang kayu.

Lebih menggeramkan lagi, pelaku terus memukul mangsa walaupun mangsa tidak melawan sehingga terbaring.

Pelaku kemudiannya melarikan diri dari tempat kejadian.

Turut tular satu gambar memaparkan darah mangsa di atas lantai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, motif serangan dipercayai akibat rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa.

"Dalam kejadian kira-kira pukul 8.35 malam itu, lelaki berusia 62 tahun terbabit mengalami luka pada kepala, patah lengan dan pergelangan tangan kiri serta luka kedua-dua belah lutut.

"Anak lelaki mangsa berusia lingkungan 30-an bersama pembantu kedai pula berada di stor sementara isteri mangsa berada di bahagian belakang premis.

“Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, terdapat dua suspek lelaki memakai topi keledar serta penutup muka membawa kayu dan parang.

“Suspek yang memegang kayu dilihat bertindak memukul mangsa sehingga mangsa terjatuh ke lantai," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau lagi, seorang lagi suspek hanya menunggu di luar kedai dan mereka terus melarikan diri tanpa mengambil apa-apa barang milik mangsa.

“Kejadian disedari isteri mangsa sebelum memaklumkan kejadian kepada anak lelakinya dan mendapati warga emas itu terbaring di atas lantai dalam keadaan berlumuran darah.

“Bagaimanapun kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung motif sebenar serangan itu dan mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram