
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mengambil tindakan segera untuk menyaring semula data Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang tercicir.
KPM menerusi satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, data tersebut akan diserahkan kepada Unit Pusat Universiti (UPU) bagi tujuan padanan dan penawaran untuk melanjutkan pengajian yang tertakluk pada kelayakan calon dan kekosongan program.
"Kementerian juga sedang menjalankan siasatan secara terperinci tentang perkara berbangkit dan melaksanakan langkah intervensi bagi memastikan isu yang timbul dapat diatasi segera dan tidak berulang pada masa hadapan," katanya.
BACA LAGI: Sijil ISO, siap Ketua Menteri mohon maaf, 3 isu hangatkan kempen PRK Sungai Bakap
BACA LAGI: Johor bukan rakan kongsi istimewa seperti Sabah dan Sarawak — Pakar Perlembagaan
Sebelum ini, seorang ibu kepada pelajar dari sekolah tahfiz Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) meluahkan kekecewaan selepas anaknya gagal mendapat pilihan pertama seperti yang dipohon dalam UPUOnline menerusi permohonan keputusan SPM 2023.
Ibu tersebut menerusi satu hantaran di Facebook turut mempersoalkan punca yang menyebabkan hampir 90 peratus anak-anak sekolah terbaik Malaysia tidak berjaya menempatkan diri ke institusi pilihan pertama.
"Sedangkan merit mereka sangat hebat, (termasuk) juga Faris anak saya, meritnya mengikut kiraan kami 98.5 ditawarkan pilihan ketiga.
"Rupa-rupanya semua anak-anak sekolah terbaik Malaysia kosong markah PAJSK mereka. Kosong! Semua!
"Apabila markah kosong implikasinya besar kerana daripada merit 98.5, hanya tinggal 90 sedangkan ini faktor mempengaruhi peluang mereka ke universiti pilihan. Mereka dinilai dengan dua aspek berkenaan keputusan peperiksaan SPM dan markah PAJSK," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Mohd Lafzul Muda memaklumkan, pihaknya sudah mematuhi semua garis panduan pelaksanaan dan pengumpulan markah PAJSK yang ditetapkan KPM.
Beliau berkata, MTNP juga sudah menghantar markah kepada KPM mengikut ketetapan masa dan kaedah seperti arahan yang dikeluarkan menerusi surat KPM kepada maahad berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram