Johor bukan rakan kongsi istimewa seperti Sabah dan Sarawak — Pakar Perlembagaan


  • Massa
  • Rabu, 26 Jun 2024

Shad menegaskan bahawa pergeseran antara negeri dan persekutuan perkara semula jadi yang boleh berlaku dalam mana-mana sistem pentadbiran persekutuan di seluruh dunia.

SEBARANG tuntutan hak yang dibuat oleh sesebuah negeri di bawah sistem Persekutuan bakal turut menyaksikan berlakunya peningkatan terhadap tanggungjawab mereka dalam isu pentadbiran.

Pakar undang-undang perlembagaan, Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkata, di bawah sistem perbelanjaan Persekutuan, pembahagian sumber antara kerajaan pusat dan negeri perlu dilakukan secara adil.

Menurutnya, pada 1957, hal tersebut tidak menjadi masalah kepada kesemua 13 negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu.

Bagaimanapun, beliau berkata, hal terbabit berubah selepas pembentukan Malaysia pada 1963 apabila beberapa peruntukan khas telah dimasukkan untuk Sabah dan Sarawak.

Katanya, keistimewaan yang diperolehi Sabah dan Sarawak itu dinyatakan ketika Persekutuan Tanah Melayu bertukar bagi membentuk Malaysia.

"Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan walaupun hanya simbolik, menamakan negeri-negeri Persekutuan, dan menyebut Sabah dan Sarawak sebagai wilayah yang berasingan.

"Sistem persekutuan asimetri 1963 memberikan kepada Sabah dan Sarawak banyak kuasa perundangan, eksekutif, kehakiman dan kewangan khas, yang tidak diperuntukkan kepada negeri-negeri Semenanjung Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kolum tulisannya di The Star yang menyentuh mengenai tuntutan dibuat oleh Johor di bawah sistem Persekutuan.

Ia antara lain membabitkan kedudukan istimewanya sebagai negara berdaulat sebelum merdeka, statusnya sebagai rakan kongsi kepada Kerajaan Persekutuan dan tuntutan pengembalian hasil sebanyak 20 hingga 30 peratus yang diperolehi Kerajaan Persekutuan daripada Johor untuk tujuan pembangunan.

Mengulas lanjut pembahagian perbelanjaan di bawah sistem Persekutuan, Perlembagaan dianggar memperuntukkan hampir 90 peratus daripada cukai, yuran, duti, taksiran dan lain-lain diperuntukkan oleh kepada Kerajaan Persekutuan.

"Ini kerana tugas Kerajaan Persekutuan meliputi hal seperti pertahanan, keselamatan dalam negeri, kepolisan, kewarganegaraan, pendidikan, pilihan raya, perbankan, perdagangan, perdagangan dan industri, pelayaran perkapalan, kerja awam, perubatan dan kesihatan, adalah sangat besar.

"Jumlah tanggungjawab besar yang dikenakan (terhadap Kerajaan Persekutuan) itu selari dengan sedikit hak yang diperolehi (terhadap Kerajaan Negeri)," ujarnya.

1453896

Kerajaan Negeri Johor baru-baru ini membuat tuntutan bagi pengembalian hasil sebanyak 20 hingga 30 peratus yang diperolehi Kerajaan Persekutuan untuk tujuan pembangunan. — Gambar hiasan

Menurut Shad, meskipun negeri-negeri turut berhak mendapat hasil kutipan daripada pemilikan tanah, permit untuk lombong, pertanian, perhutanan, pasar, pameran, rumah tumpangan dan tempat hiburan, jumlah tersebut dilihat tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan mereka.

Ujarnya, disebabkan itu, tuntutan dibuat oleh Kerajaan Negeri itu adalah sesuatu yang memiliki legitimasi.

"Peruntukan daripada persekutuan seperti untuk pemberian ikut kepala atau capitation grant, geran jalan, pinjaman dan geran budi bicara juga tidak mencukupi.

"Bagaimanapun, perlu diingat bahawa kecuali Sabah dan Sarawak yang mempunyai hak fiskal khas, tuntutan oleh Johor (dan lebih awal oleh Pulau Pinang) bukanlah hak terdapat dalam perlembagaan tetapi permintaan dan aspirasi yang memerlukan pindaan perlembagaan yang ketara.

"(Namun) Hak itu akan datang dengan peningkatan tugas dan perbelanjaan. Pada masa sama, semua negeri Semenanjung Malaysia juga perlu dilayan sama rata (dalam sebarang perubahan dalam pemberian hak di bawah Persekutuan)," tulisnya.

Justeru itu, beliau berkata, permintaan Johor untuk perkongsian hasil yang lebih baik adalah berdasarkan bukti kukuh, namun ia adalah sesuatu yang memerlukan perundingan menyeluruh.

Ia termasuk melalui penyelidikan dan antara lain meliputi langkah meningkatkan sumber pendapatan menerusi item perbelanjaan yang juga perlu ditambah.

Shad turut menegaskan, pergeseran antara negeri dan persekutuan adalah suatu perkara semula jadi yang boleh berlaku dalam mana-mana sistem pentadbiran persekutuan bernegara di seluruh dunia.

"Perselisihan persekutuan-negeri adalah sesuatu yang diketahui berlaki di kesemua 23 persekutuan yang berada di seluruh dunia, Malaysia tidak terkecuali," ujarnya.

Status kedaulatan Johor selepas pembentukan PTM

Menyentuh mengenai status Johor sebagai negara yang berdaulat sebelum merdeka, Shad yang juga penyandang Kursi Tunku Abdul Rahman di Universiti Malaya (UM) berkata, perkara tersebut sememangnya sesuatu yang tidak dinafikan.

"Tanpa syak wasangka, Johor bukan sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat. Ia juga bukan sebahagian daripada Negeri-Negeri Melayu Bukan Persekutuan seperti Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

"Ia juga bukan rakan kongsi dengan Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMS). Ia mempunyai perlembagaan sendiri seawal 1895.

"Terdapat kes British Mighell lwn Sultan Johor (1894), yang mengiktiraf kekebalan kedaulatan Sultan Johor ketika itu di mahkamah British," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu berubah selepas Johor mengambil bahagian dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan termaktubnya Perlembagaan Merdeka pada 1957.

Sabah_during_the_formation_of_Malaysia_(16_September_1963)

Perjanjian pada 1963 menyaksikan Sabah, Sarawak dan Singapura bersetuju untuk membentuk Malaysia dengan syarat yang sangat istimewa. — Agensi

Di bawah perjanjian itu, Shad berkata, Johor menyerahkan kedaulatannya kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang baharu.

"Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan mengisytiharkan Perlembagaan ini adalah undang-undang tertinggi Persekutuan. Di bawah Perkara 162(6), diperuntukkan bahawa mana-mana undang-undang sebelum Merdeka, yang melanggar Perlembagaan, boleh diubah suai atau dibatalkan.

"Perkara 71 dan Jadual Kelapan mengandungi 'Peruntukan yang perlu dimasukkan dalam (semua) Perlembagaan Negeri.' Jika mana-mana negeri gagal mematuhi peruntukan Jadual Kelapan, Parlimen boleh campur tangan di bawah kuasa Perkara 71(3).

"Ini bermakna semua perlembagaan negeri termasuk perlembagaan Johor 1895 adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Bagi pembahagian kuasa pula, Shad berkata, kuasa perundangan, eksekutif, kehakiman dan kewangan negeri-negeri ditetapkan dalam Perkara 73 hingga 112D dan Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

"Pengagihan kuasa adalah sangat tidak sekata dan tertumpu kepada Persekutuan. Mana-mana perundangan atau tindakan negeri atau persekutuan yang melangkaui ke dalam bidang kuasa pihak lain boleh menjadi tidak sah oleh mahkamah di bawah Perkara 4, 162(6) dan 128.

"Perlu diperhatikan bahawa pada 1963 ketika Persekutuan Tanah Melayu ditukar kepada Malaysia, Sabah, Sarawak dan Singapura bersetuju untuk membentuk Malaysia dengan syarat yang sangat istimewa," ujarnya.

Katanya, sistem persekutuan asimetri 1963 memberikan kepada Sabah dan Sarawak banyak kuasa perundangan, eksekutif, kehakiman dan kewangan khas, yang tidak diperuntukkan kepada negeri-negeri Semenanjung Malaysia.

Istilah khas itu disenaraikan dalam sekurang-kurangnya 80 atau lebih peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan dalam dua Senarai Perundangan berasingan dalam Jadual 9 yang dipanggil Senarai Negeri Tambahan dan Senarai Bersama Tambahan.

"Tiada senarai istimewa sebegitu untuk Johor kerana Johor adalah sebuah negeri dan bukannya rakan kongsi yang berasingan dan istimewa seperti Sabah dan Sarawak," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram