PILIHAN raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Pulau Pinang menyaksikan berlangsungnya persaingan dua penjuru antara Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Abidin Ismail dan Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin.
Minggu pertama awal tempoh berkempen menyaksikan isu dimainkan berlegar di sekitar kredibiliti dan latar belakang calon yang ditampilkan.
Pada masa sama, berbanding dengan beberapa PRK sebelum ini, kedua-dua pihak yang bertanding juga dilihat tidak cuba untuk memainkan sentimen melibatkan 3R iaitu kaum, agama dan raja.
BACA LAGI: Johor bukan rakan kongsi istimewa seperti Sabah dan Sarawak — Pakar Perlembagaan
Ia disumbangkan mungkin antara lain akibat daripada pemilihan kedua-dua calon yang merupakan calon berbangsa Melayu.
Pada masa sama, selain isu nasional seperti prestasi pentadbiran Kerajaan Perpaduan, beberapa isu setempat juga dilihat mendapat perhatian khususnya melibatkan isu air.
Berikut Majoriti senaraikan beberapa isu yang menghangatkan PRK DUN Sungai Bakap selepas lebih seminggu tempoh berkempen.
Pengundi di kawasan ini akan menunaikan tanggungjawab mereka membuang undi pada 6 Julai depan dengan tiada proses pengundian awal berlangsung selepas kesemua 57 anggota polis yang mengundi awal pada PRK kali ini menggunakan undi pos.
1. Status pekerjaan dan kelayakan calon jadi perhatian
Sejak hari beliau diperkenalkan sebagai calon bagi PN, Abidin menjadi sasaran serangan pihak lawan yang tampil berhubung latar belakang kelayakan bagi pekerjaannya.
Pada malam pengumuman calon 15 Jun lalu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan bahawa beliau yang dikenali sebagai Abang Bidin merupakan seorang individu yang mempunyai kelayakan sijil Pertubuhan Antarabangsa untuk Piawaian (ISO) bagi Sistem Pengurusan Alam Sekitar.
Situasi berkenaan menyebabkan pihak lawan menjadikan ia sebagai modal untuk menyerang Abidin.
Susulan daripada itu, beliau pada 22 Jun lalu akhirnya tampil memberi penjelasan dengan menyatakan bahawa terdapat sedikit kesilapan semasa pengumuman latar belakangnya dibuat.
PRK Sungai Bakap menyaksikan persaingan dua penjuru antara Abidin (kiri) yang mewakili PN dan Joohari (PH).
Jelasnya, sijil ISO sebenarnya tidak diberikan kepada individu tetapi sebaliknya hanya untuk syarikat tempatnya bekerja.
Dalam pada itu, perbezaan tahap pendidikan antara kedua-dua calon juga turut menjadi antara isu diperbincangkan ketika tempoh berkempen.
Di pihak PH, Joohari merupakan seorang pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dan pernah menjadi pengarah Institut Aminuddin Baki cawangan utara sebelum meletak jawatan tahun lalu.
Untuk Abidin pula, beliau yang juga pembantu kepada ADUN Sungai Bakap sebelum ini diperkenalkan sebagai seorang individu yang berkhidmat sebagai eksekutif logistik.
2. BERSIH kecam Ahmad Maslan
Sama seperti PRK DUN Kuala Kubu Bharu baru-baru ini, isu dakwaan penggunaan jentera atau dana kerajaan ketika tempoh berkempen kembali berulang.
Pada 26 Jun lalu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) tampil melahirkan kecaman terhadap kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dilapor berkata, tidak menjadi kesalahan untuk menganjurkan program atau mengumumkan peruntukan semasa pilihan raya kecil.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, ini kerana kehadiran menteri yang berada di program berkaitan berdasarkan kapasiti sebagai menteri dan 'kebetulan' ada pilihan raya.
Ahmad berkata, isu penganjuran program dan pengumuman peruntukan itu pernah dibawa ke mahkamah sebelum ini, namun keputusan tidak memihak kepada pihak yang mempertikaikannya.
Menyentuh mengenai perkara itu, BERSIH berkata, tindakan menggunakan sumber dan jentera kerajaan semasa berkempen adalah bertentangan dengan amalan baik pilihan raya di peringkat antarabangsa termasuk Perkara 4(1) Deklarasi Inter-Parliamentary Union (IPU).
Malah, kenyataan itu menyebut bahawa kenyataan yang mengatakan bahawa tiada keputusan mahkamah yang memihak kepada pertikaian melibatkan program kerajaan membabitkan pemberian sumbangan adalah tidak tepat.
Ujarnya, dalam kes melibatkan Datuk Mohd Zubir Embong lawan Datuk Hj Ahmad Amzad bin Mohamed@Hashim, Mahkamah Pilihan Raya pada 27 Jun 2023 mengisytiharkan kekosongan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang disandang oleh Ahmad Amzad ketika itu akibat penganjuran program sedemikian.
3. Isu air jadi tumpuan
Antara isu tempatan yang menjadi tumpuan dalam PRK kali ini adalah berhubung dengan masalah bekalan air bersih yang melanda beberapa kawasan di Sungai Bakap.
Media melaporkan bahawa isu air di kawasan tersebut bermula sejak sekitar lima tahun lalu ekoran pengoperasian pusat perindustrian di sekitar Batu Kawan.
Untuk rekod, Pulau Pinang menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah lari dari menyelesaikan masalah tersebut.
Masalah bekalan air di sekitar Sungai Bakap dilaporkan berlaku sejak enam tahun lalu. — Gambar hiasan
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, pentadbiran negeri kini sedang giat berusaha merangka projek jangka pendek, sederhana dan panjang dalam menangani permasalahan air di Mukim 5 Sungai Bakap.
Ujarnya, usaha bagi menangani isu yang sudah berlarutan sejak enam tahun lalu itu sudah diumumkan sebelum ini menerusi Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP2030) oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
PBAPP beberapa kali sebelum ini menjelaskan ia sudah mengambil pelbagai inisiatif meningkatkan bekalan air di daerah Seberang Perai Selatan antaranya melalui tiga projek mitigasi tambahan iaitu Pakej 12A Loji Rawatan Air (LRA), LRA Kompak di Sungai Kerian dan Pemasangan Paip di Jalan Permatang Pauh hingga ke Jalan Kampung Bagan Serai Seberang Perai Tengah.
Dalam pada itu, satu lagi projek jangka panjang iaitu Projek Air Perak dan Pulau Pinang juga dijangka menyelesaikan permasalahan air di kawasan itu selepas 2030 nanti.
Pada masa sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilaporkan tampil memohon maaf berhubung isu air yang dihadapi oleh penduduk Sungai Bakap.
Beliau bagaimanapun menegaskan kerajaan negeri tidak menganaktirikan mana-mana pihak.
Kon Yeow berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan telah menyenaraikan beberapa projek fizikal namun perkara tersebut mengambil masa panjang untuk disiapkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram