Tiga kanak-kanak hilang dari pusat jagaan anak yatim NGO di Kuala Pilah sejak Jumaat


  • 112
  • Selasa, 02 Jul 2024

Polis sedang mengesan tiga kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang dari pusat jagaan anak-anak yatim di Taman Cemerlang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan sejak Jumaat lalu. — PDRM

TIGA remaja perempuan dilaporkan hilang dari asrama sebuah pusat jagaan anak-anak yatim kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Taman Cemerlang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan sejak Jumaat lalu.

Kanak-kanak tersebut ialah Nur Aisha Umaira Mohd Fazil, 14; Nur Aina Fatiyyah Muhammad Mujahid, 12, dan Qaseh Tazqeerah Abdul Qayyum, 11.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, polis menerima maklumat daripada pihak pengurusan Yayasan Kasih Sayang Kuala Pilah pada pukul 10.30 malam berhubung kehilangan kanak-kanak berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Kantoi curi kabel TM, pemandu seret wayar 'copper' cuba lari di kampung Kota Belud

BACA LAGI: Lepas 9 jam hilang di Kota Belud, budak perempuan ditemukan 5 kilometer dari rumah

WhatsApp Image 2024-07-02 at 23.45.53

Tiga remaja perempuan tersebut hilang dari asrama sebuah pusat jagaan anak-anak yatim di Taman Cemerlang, Kuala Pilah.

"Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Pilah telah menyiasat satu laporan polis yang dibuat pihak pengurusan yayasan.

"NGO berkenaan yang menyediakan pusat jagaan anak-anak yatim dan terbiar memaklumkan tentang kehilangan tiga kanak-kanak perempuan yang merupakan penghuni asrama disediakan pihak yayasan di Taman Cemerlang.

"Hasil siasatan mendapati kesemua mereka dilahirkan di negeri ini (Negeri Sembilan)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Amran berkata, usaha mengesan kanak-kanak tersebut sedang giat dilaksanakan dengan semua elemen dan butiran mereka juga sudah didaftarkan ke dalam Sistem Nur Alert.

Ujar beliau, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan waris telah dimaklumkan tentang perkara itu dan semua maklumat berkaitan sedang dikumpul bagi mengenal pasti punca mereka melarikan diri dari asrama.

"Polis juga sedang mengesan tempat-tempat yang berkemungkinan dikunjungi mereka," katanya.

Tambahnya lagi, kes disiasat di bawah kes orang hilang dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kesemua kanak-kanak perempuan itu diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

"Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes Sarjan Ruzaidi Ismail di talian 012-3648589," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram