Bekas Pengarah SRC percaya arahan Najib demi kebaikan negara, syarikat


Ismee (kanan) tidak boleh membantah arahan Najib kerana percaya bahawa arahan bekas Perdana Menteri itu adalah bertujuan untuk kebaikan negara dan syarikat.

SEORANG bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak boleh membantah arahan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana percaya bahawa arahan bekas Perdana Menteri itu adalah bertujuan untuk kebaikan negara dan syarikat.

Tan Sri Ismee Ismail, 59, berkata, beliau tidak akan berbuat demikian kerana percaya bekas Perdana Menteri itu cuba melakukan yang terbaik untuk SRC.

"Tiada sebab untuk saya mengesyaki Datuk Seri Najib tidak bertindak demi kepentingan SRC," kata Ismee ketika disoal balas oleh peguam Chong Yik Loong yang mewakili seorang daripada responden pihak ketiga iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

BACA LAGI: Mahkamah Tinggi benarkan afidavit Wan Rosdy sokong permohonan tahanan rumah Najib

BACA LAGI: Najib cuba sekat siasatan SPRM terhadap 1MDB

Ismee juga memberi keterangan sebagai responden pihak ketiga dalam saman RM5.57 bilion (US$1.18 bilion) SRC International terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas.

Kepada soalan mengenai kemudahan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan yang diperoleh SRC, Ismee berkata ia sudah diluluskan sebelum beliau menjadi pengarah syarikat itu.

"Saya percaya pada peringkat tertentu, terdapat usaha wajar yang telah dilakukan kerana bukan mudah untuk memperoleh jaminan kerajaan (untuk memohon pinjaman itu).

"Saya bekerja dengan Danaharta Nasional Berhad sebelum ini, jadi saya tahu betapa sukarnya untuk mendapat jaminan kerajaan.

"Saya hanya tahu mengenai kelulusan pinjaman itu semasa mesyuarat Lembaga Pengarah SRC yang pertama, saya rasa ia adalah satu kejutan yang menggembirakan," katanya.

Di bawah pengurusan baharu, SRC memfailkan saman itu pada Mei 2021 dengan mendakwa Najib telah melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

SRC International sebelum ini menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu termasuk Ismee dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

Syarikat itu memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialami syarikat itu akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau serta menuntut beliau membayar pampasan sebanyak RM42 juta bagi kerugian itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung 13 Jun ini. — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram