Suspek rentung, 2 anggota polis parah kereta masuk parit di Muar


  • 112
  • Khamis, 04 Jul 2024

Kedua-dua kereta tersebut terbabas ke dalam parit dengan kereta suspek terbakar akibat kemalangan itu. — PDRM

SEORANG lelaki rentung setelah kenderaan dipandunya terbabas ke dalam parit ketika cuba melarikan diri daripada dikejar kereta peronda berhampiran Parit Kongsi 4, Muar, Johor pada Khamis.

Dalam kemalangan pukul 4 pagi itu, dua anggota polis parah selepas kereta peronda dinaiki terbabas ke dalam parit sama, dengan kedua-duanya kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, Johor.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu suspek cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu kena sawan rempuh tiang lobi hospital di Muar

BACA LAGI: Tak serik masuk penjara 23 tahun, bekas banduan didakwa lagi cabul anak saudara di Muar

449476394_860160966146134_701892333350217869_n

Satu kenyataan dikeluarkan berhubung kes tersebut pada awal pagi Khamis.

Dia berkata, sebelum kejadian, dua anggota polis berusia 40 dan 41 tahun dari cawangan kereta peronda sedang menjalankan tugas rondaan dan menahan suspek di pekan Parit Jawa bagi tujuan pemeriksaan.

"Namun, suspek melarikan diri dengan memecut kereta jenis Toyota Vios ke arah Parit Jamil. Pada masa sama, polis turut membunyikan siren amaran agar suspek memberhentikan kenderaan sebaliknya dia enggan dan terus memecut.

"Ketika usaha mengejar suspek dilakukan, kedua-dua kenderaan polis dan suspek terbabas dan memasuki parit sama. Selepas kemalangan itu, kereta dipandu suspek terbakar menyebabkannya rentung. Dua anggota polis pula parah dan dikejarkan ke HPSF untuk rawatan," katanya dalam kenyataan.

Raiz Mukhliz berkata, mayat suspek dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat serta menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identitinya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Orang ramai melihat kejadian itu atau mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram