Methyl mercaptan punca 39 mangsa alami pening, mual di KLIA


  • 112
  • Khamis, 04 Jul 2024

Gas yang bocor tersebut digunakan untuk dicampur ke bahan api untuk menimbulkan bau sekiranya berlaku kebocoran.

BAHAN kimia yang menjadi punca kepada kes pening di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis adalah methyl mercaptan, menurut laporan terkini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya mendapat laporan berhubung kes itu pada pukul 11.23 pagi.

Menurutnya, bahan kimia berkenaan digunakan sebagai agen campuran ke dalam gas bahan api cecair sebagai bahan untuk menimbulkan bau dalam mengenal pasti kes kebocoran.

BACA LAGI: Kucing 'kerah' bomba, Hazmat ekoran kes tumpahan bahan kimia di George Town

BACA LAGI: Gas bocor di Sungai Petani, 21 pekerja kilang muntah, sukar bernafas

sg45-04072024-gas-bocor_4323637_20240704194341

Kejadian tersebut menyaksikan 1,000 kakitangan KLIA terpaksa meninggalkan kawasan tersebut. — The Sun

Berdasarkan laporan terkini, 39 orang difahamkan mengalami pening dan mual daripada kebocoran gas tersebut dengan angka itu meningkat daripada 20 yang dilaporkan pada awalnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, gas berkenaan merebak sehingga dua kilometer dari lokasi kejadian tidak membahayakan serta dijamin selamat untuk penduduk sekitar.

“Pihak bomba dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) menjalankan pemeriksaan dan bersama pihak Gas Malaysia mengesan kebocoran sejenis gas dikenali sebagai Methyl Mercaptan atau gas yang dicampur dengan gas memasak supaya menimbulkan bau dan mudah dikesan orang awam," katanya.

Tambahnya, dalam kejadian tersebut, lebih 1,000 kakitangan diarahkan mengosongkan kawasan Terminal Kargo KLIA.

WhatsApp Image 2024-07-04 at 8.13.41 PM

Azman menegaskan kesemua 39 mangsa sudah menerima rawatan berikutan kes kebocoran gas itu.

Selain itu, 39 mangsa mengalami pening dan mual dengan 24 mangsa mendapat rawatan luar dan dibenarkan pulang, 14 orang dibawa ke Unit Rawatan Udara (ADU) KLIA manakala seorang dihantar ke Hospital Putrajaya.

“Buat masa ini, pihak Gas Malaysia membuat tampalan sementara (di tangki skid) bagi mengelakkan bau beredar di sekitar kawasan sini, sementara pemulihan, seterusnya (langkah seterusnya) dilaksanakan bergantung kepada Gas Malaysia.

“Kita masih ada sedikit lagi (operasi), kita nak tengok Gas Malaysia pastikan tampal dengan baik atau ditutup dengan baik, baru kita tutup (operasi), pasti benar-benar selamat untuk umum.

"Untuk pekerja di bangunan MAB Engineering yang beroperasi 24 jam, pihak keselamatan MAB juga akan memulakan operasinya pada malam ini bagi mengelakkan jadual penerbangan tergendala,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram