[VIDEO] Juruterbang wanita kena tahan angin kencang, hampir maut lepas kanopi pesawat ringan pecah


  • Benua
  • Khamis, 04 Jul 2024

Tangkap layar memaparkan detik-detik kanopi pesawat ringan Extra 330LX dinaikinya terbuka secara tiba-tiba ketika sedang dalam penerbangan.

SEORANG pelatih penerbangan berkongsikan pengalaman cemasnya apabila kanopi pesawat ringan Extra 330LX dinaikinya terbuka secara tiba-tiba ketika sedang dalam penerbangan.

Menurut Narine Melkumjan dari Belanda, mimpi ngeri tersebut berlaku 'beberapa tahun lepas', namun dia hanya berani berkongsikan pengalaman cemas itu di akaun X miliknya, baru-baru ini.

“Penerbangan itu amat menakutkan, dengan bunyi yang amat bising, kesukaran bernafas dan penglihatan yang terhad. Daya penglihatan saya hanya pulih selepas hampir 28 jam kejadian itu berlaku,” kata Narine dalam ciapan tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Sempat hadir kenduri kahwin sebelum satu keluarga hanyut dibawa arus sungai di India

BACA LAGI: [VIDEO] Polis terima laporan kes pukul anjing, suspek didakwa pemain badminton remaja kebangsaan

Kata Nadine, kejadian itu berlaku mungkin kerana pin yang mengunci kanopi tersebut tidak dipasang dengan sebaiknya menyebabkannya terbuka dengan sendiri.

“Bunyi bising memang menyukarkan komunikasi dengan jurulatih, namun apa yang pasti saya pegang kata-katanya pastikan terus terbang,” katanya lagi.

Walaupun berdepan kesukaran mengawal pesawatnya, Nadine berjaya melakukan pendaratan dengan sempurna.

Nadine mengakui kejadian itu mungkin dapat dielakkan sekiranya dia melaksanakan pemeriksaan yang lebih teliti sebelum melakukan penerbangan.

“Kemungkinan pin yang mengunci kanopi tidak dipasang dengan baik, dan saya gagal menemukannya ketika pemeriksaan awal.

“Saya juga membuat kesilapan kerana terus memulakan latihan penerbangan walaupun baru sahaja pulih dari Covid-19, tanpa memberi peluang tubuh badan saya untuk pulih sepenuhnya.

“Terbang tanpa memakai sebarang perlindungan mata membuatkan keadaan menjadi lebih sukar,” katanya lagi.

Nadine berkongsikan pengalamannya kerana mahu para juruterbang lain lebih berhati-hati dan tidak mengabaikan aspek keselamatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram