MALANG tidak berbau apabila seorang pemandu kereta hilang kawalan dan merempuh lobi Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, Johor pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, kejadian dipercayai berlaku pukul 10.20 malam ketika lelaki berkenaan bersama rakannya dalam perjalanan dari Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah.
"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu kereta jenis Proton Saga 1.3 mengalami sawan.
"Keadaan itu menyebabkan kereta dipandu pekerja syarikat pembekalan barang ortopedik hospital berusia 30 tahun itu hilang kawalan hingga terbabas melanggar tiang tembok batu di hadapan Jabatan X-ray hospital berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
BACA LAGI: Sekolah kerap putus bekalan elektrik, murid sekolah di Johor Bahru berpanas ikuti kelas di koridor
BACA LAGI: Pelajar TVET berpotensi ke luar negara dengan penguasaan bahasa Inggeris yang baik
Beliau berkata, akibat perlanggaran tersebut, mangsa tidak sedarkan diri dan dirawat di zon merah, sementara rakannya, 28, dirawat di zon kuning akibat sakit dada.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Untuk rekod, pemandu berkenaan beralamat dari Seksyen 8, Shah Alam Selangor, manakala rakannya beralamat di Kampung Batu Belah, Klang, Selangor.
Kejadian itu pada masa sama menyebabkan beberapa kerosakan pada tiang lobi hospital dan struktur binaan yang sedang dalam kerja pembaikan iaitu kerangka bumbung serta siling.
Kereta tersebut kemudiannya dikeluarkan menggunakan perkhidmatan penunda dari kawasan lobi hospital itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram