[VIDEO] Saksi kemalangan terkedu dapat panggilan 'My Lovely Wife', menitik air mata kena sampaikan berita mangsa maut rempuh treler di Shah Alam


  • Tular
  • Rabu, 03 Jul 2024

Tangkap layar kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal dan sebuah treler di Shah Alam, Selangor pada Selasa.

'SAYA rasa tak sedap hati, itu yang tergerak nak telefon suami'.

Demikian ungkapan keluar daripada bibir seorang isteri sebaik menerima berita kematian suaminya yang kemalangan berhampiran Kolej MSU, Shah Alam, Selangor pada Selasa.

Seolah-olah tidak percaya dengan berita pemergian suami tercinta, mangsa yang difahamkan baru selesai menghantar anaknya ke sekolah disahkan meninggal dunia akibat kemalangan dengan sebuah treler di lokasi kejadian.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak lepas memotong, penunggang superbike putus badan kena gilis treler di Pulau Pinang

BACA LAGI: [VIDEO] Saksi sayu, suami tersepit kemalangan jatuh gaung di Kulim, panggil isteri maut berkali-kali tidak menyahut

Kejadian itu dikongsikan seorang saksi yang juga merupakan pelawak terkenal, Nizam Jentik Jentik menerusi ciapan di laman Facebook pada Selasa.

Jelasnya, dia amat terkedu dengan situasi tersebut apabila menyaksikan sendiri kematian penunggang motosikal tersebut.

"Sebak betul hari ini, saya jadi antara terawal yang nampak dan berada di lokasi kemalangan maut. Saya turun payungkan mangsa sebab keadaan panas terik masa tu.

"Saya terkedu dan menitik juga air mata, saya mesej keadaan suaminya untuk kepastian dia, gambar WhatsApp ada anak dua orang masih kecil lagi... Allahuakbar menitik terus air mata saya," katanya.

Insiden berkenaan sempat dirakamkan seorang pengguna dashcam dan video tersebut dikongsikan di laman sosial.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika lori treler tersebut sedang membelok di selekoh laluan berkenaan.

Namun, penunggang itu yang dilihat bergerak laju kemudiannya gagal mengelak bahagian belakang lori tersebut dan merempuhnya sehingga terkulai di lokasi kejadian.

Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kes tersebut setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram