Pemilik akaun X didakwa hina Agong, biadap gelar Sultan Ibrahim sebagai PATI


  • Tular
  • Rabu, 03 Jul 2024

Seorang individu di laman sosial memuat naik ciapan berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

TINDAKAN seorang individu yang dipercayai menghina kedudukan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencetuskan kecaman hebat di laman sosial.

Menerusi ciapan di laman X, individu berkenaan mendakwa Sultan Ibrahim berasal dari Sulawesi, Indonesia dan telah membuat satu rancangan penipuan besar dan melantik dirinya sebagai Sultan.

Menggesa agar orang ramai agar tidak tunduk hormat kepada Baginda, individu terbabit menerusi akaun @firamond menggelar rakyat sebagai 'bodoh' kerana tertipu dengan sistem kesultanan negara.

BACA LAGI: [VIDEO] Selepas Ricky Shane, Tok Panglima Aduka bawa 'tentera' sekolahkan lelaki persenda kalimah ALLAH

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Saya mualaf, masih banyak perlu belajar’, Ricky Shane Ca mohon maaf hina Islam, dibawa ke balai selepas 6 jam dikepung bawah rumah di Sabah

Dalam pada itu, ciapan tersebut dibuat sebagai reaksi kepada penundaan beberapa konsert artis luar negara bagi memberi laluan kepada pertabalan Raja Malaysia ke-17 pada 20 Julai nanti.

Difahamkan, sebanyak lima permohonan konsert telah diterima pada tarikh berkenaan namun, terpaksa dijadualkan semula bagi memberi penghormatan kepada istiadat tersebut.

Perkara itu disahkan oleh Agensi Pusat Permohonan Penggambaran dan Persembahan Jawatankuasa Artis Asing (JK-PUSPAL) pada Isnin.

"Mengikut garis panduan PUSPAL, perkara 16.1(f) menggariskan tempoh larangan mengadakan konsert artis luar negara dan persembahan luar negara secara besar-besaran.

"Ia menyatakan penganjur tidak dibenarkan mengadakan konsert sedemikian pada tarikh yang dianggap tidak sesuai oleh Kerajaan atau Kerajaan Negeri.

"Oleh itu, penganjur dinasihatkan supaya tidak mengadakan konsert artis luar negara pada 20 Julai ini dan menjadualkan semula konsert tersebut ke tarikh baharu yang sesuai seperti yang ditetapkan dalam garis panduan," katanya menerusi kenyataan.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan polis berhubung dakwaan tersebut setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil ke balai berhampiran bagi membuat laporan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram