PEMANDU bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan meragut nyawa dua pelancong warga China di KM16.5, Jalan Genting Highlands, Pahang, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Raub, Pahang atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya dan tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Tertuduh, S. Anand Kumar, 32, dari Klang, Selangor, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Siti Aisyah Ahmad pada Rabu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh, pada 29 Jun 2024, kira-kira pukul 10:20 pagi di KM16.5, Jalan Genting Highlands, telah memandu bas persiaran itu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua warga China, Zhang Ping, 58, dan Wang Suhong, 49.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu bas terbabit nahas di Genting Sempah tiada lesen memandu, ada 27 rekod saman — Polis
BACA LAGI: [VIDEO] Percubaan kali kedua buahkan hasil, penduduk berjaya pindah rumah tradisional Desa Melor
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh di lokasi dan masa sama didakwa memandu kenderaan bermotor di jalan raya tanpa lesen memandu yang sah.
Dalam pengakuannya, Anand Kumar yang tidak diwakili peguam berkata, dia menyara ibunya yang juga orang kelainan upaya (OKU) dengan pendapatan RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.
Majistret Siti Aisyah kemudiannya menetapkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan dijadualkan pada 7 Ogos nanti untuk sebutan seterusnya bagi pelantikan peguam dan penyerahan dokumen. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram