Bahan digital ganti buku teks antara usaha tangani isu beg sekolah berat — Fadhlina Sidek


  • Primer
  • Rabu, 03 Jul 2024

Fadhlina Sidek menjelaskan bahawa KPM kini sedang dalam perancangan menangani isu beg sekolah berat.

GANTIKAN buku teks dengan bahan digital merupakan antara langkah diambil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengurangkan isu beg sekolah berat.

Menterinya, Fadhlina Sidek menjelaskan bahawa ia akan menjadi sebahagian daripada kurikulum persekolahan 2027 menerusi jawapan bertulis dalam Parlimen pada Selasa.

"Kurikulum persekolahan 2027 sedang dibangunkan dan pandangan pihak berkepentingan telah diambil kira untuk meningkatkan kualiti sistem pendidikan," katanya.

BACA LAGI: Beg sekolah berat: KPM sukar tukar buku teks fizikal kepada digital secara total

BACA LAGI: Pakar syor solusi atasi masalah beg sekolah berat

"Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengatasi isu beg sekolah yang berat, Kementerian Pendidikan telah membangunkan bahan sokongan digital yang akan menggantikan buku teks," katanya.

Tambahnya, bahan pembelajaran itu lebih ringan, mudah selain mempunyai liputan yang lebih luas dan interaktif.

"Penggunaan bahan sokongan digital adalah lebih dinamik dan akan mencetuskan minat pelajar untuk belajar dan meneroka lebih banyak bidang," katanya.

Kenyataan itu dibuat bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad mengenai sukatan pelajaran kurikulum persekolahan selain mengambil kira masalah beg sekolah berat. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram