PEMANDU bas persiaran yang terbalik dalam kemalangan maut di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands dekat Bentong, Pahang pada Sabtu tidak mempunyai lesen memandu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pemandu berusia 32 tahun itu juga didapati mempunyai 27 saman lampau yang melibatkan pelbagai jenis kesalahan.
Menurutnya, kesalahan itu dikesan selepas polis melakukan semakan terhadapnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Kenderaan milik JAKOA terbabit kemalangan, 4 penumpang tercampak keluar
"Kita sedang menjalankan siasatan serta akan mengambil tindakan susulan selepas pemandu bas selesai mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Zaiham berkata, dalam nahas kira-kira pukul 11 pagi itu, pemandu bas berusia 32 tahun berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan.
Tambahnya, kemalangan yang dipercayai berlaku ketika bas membawa 21 penumpang termasuk pemandu itu dalam perjalanan turun dari Genting Highlands menuju ke Kuala Lumpur.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, bas terbabit terbabas melanggar tembok tengah pembahagi jalan sebelum terbalik.
"Akibat kejadian, dua penumpang warga China, Wang Shuhong, 49, dan Zhang Ping, 58 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Zaiham memaklumkan, pemandu bas, pembantu dan pemandu pelancong warga tempatan serta 16 penumpang Warga China berjaya dibawa keluar dari bas sebelum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Ujarnya, seramai 13 mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala enam lagi dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan lanjut.
"Orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan," jelas beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram