Matrikulasi tetap pilihan ke-3, syarat 10A kemasukan tak jejas kuota bumiputera


  • Massa
  • Selasa, 02 Jul 2024

Pelajar lepasan SPM perlu mencapai sekurang-kurangnya 10A jika ingin melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi. — Gambar hiasan

KEPUTUSAN kerajaan membenarkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan sekurang-kurangnya 10A melanjutkan pengajian ke matrikulasi menerima reaksi pelbagai pihak.

Segelintir masyarakat berpendapat ia sebagai langkah kurang bijak yang boleh mencetuskan persaingan dalam kalangan pelajar Bumiputera, sekali gus mengehadkan kuota yang sepatutnya dikhususkan kepada golongan tersebut.

Mengulas lanjut hal itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon menyifatkan perkara berkenaan sebagai isu kecil dan tidak menjejaskan mana-mana pihak.

BACA LAGI: 'Berapa ramai ambil 10 subjek?', syarat keputusan SPM 10A masuk matrikulasi dilabel pilih kasih

BACA LAGI: Rombak silibus sains, matematik bermula Tahun 4 atau negara 'hilang' doktor pakar — NUTP

Jelasnya, pengajian matrikulasi masih menjadi pilihan ketiga dalam kalangan lepasan SPM berbanding program asasi dan diploma.

"Matrikulasi masih pilihan ketiga dalam negara, kebanyakannya akan pilih asasi ataupun diploma jika ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

"Matrikulasi tidak semudah yang dijangka, memandangkan ia hanya memakan masa setahun, jadi silibus pelajarannya agak padat dan memerlukan keputusan cemerlang jika ingin terus ke peringkat ijazah.

"Jadi dengan langkah berani dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu, ia sebenarnya tidak menjejaskan kuota ataupun masa depan pelajar Bumiputera pun, malah lebih adil buat kaum lain yang mencapai keputusan cemerlang," katanya kepada Majoriti.

Untitled-design-2022-12-03T145046.813

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon

Dalam pada itu, Fouzi tegas menolak dakwaan segelintir masyarakat yang cuba memainkan sentimen perkauman dalam soal tersebut.

Katanya, individu tanpa pengetahuan dan ilmu akan terus berfikiran buruk dan memandang ia dari sudut negatif terhadap sektor pendidikan negara.

"Mereka yang tak faham memang akan terus bising dan mencetuskan kekecohan di laman sosial, walhal tak ada isu kuota Bumiputera berkurang ataupun hancurkan masa depan anak Melayu kita pun.

"Syarat diletakkan mesti capai keputusan 10A, kita pun tahu ia bukan perkara mudah dan pelajar sedemikian kebiasaannya akan pilih program asasi berbanding matrikulasi, maka isu kuota yang diperkatakan itu tidak terjejas sedikit pun sebenarnya," tambahnya.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kuota Bumiputera akan terus dipertahankan biarpun kerajaan mengumumkan keputusan pembukaan kemasukan ke matrikulasi.

Jelasnya, walaupun langkah itu memberikan pengiktirafan kepada kecemerlangan tanpa mengira kaum dan latar belakang, kerajaan pada masa sama tegas mempertahankan kuota Bumiputera.

Pada masa sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir juga memaklumkan, semua lulusan SPM 2023 yang memperoleh keputusan 10A ke atas, namun tidak mendapat tempat di matrikulasi atau program asasi universiti awam (UA), ditawarkan tempat sewajarnya.

Katanya, KPT dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama mengenal pasti kumpulan pelajar terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram