Kenapa data miskin tegar JPM berbeza dengan Kementerian Ekonomi? — MP Pasir Mas


  • Massa
  • Selasa, 02 Jul 2024

Data semasa menunjukkan Sabah mencatatkan peratusan kemiskinan tegar tertinggi iaitu 1.2 peratus. — Gambar hiasan

KERAJAAN kini dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar dengan memberi fokus kepada empat negeri yang merekodkan peratusan melebihi paras nasional iaitu Sabah, Kelantan, Sarawak dan Kedah.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, data semasa menunjukkan Sabah mencatatkan peratusan kemiskinan tegar tertinggi iaitu 1.2 peratus.

Menurutnya, ia diikuti Kelantan dengan 0.8 peratus, Sarawak (0.4 peratus) dan Kedah (0.3 peratus).

BACA LAGI: Kedah, Kelantan antara 4 negeri catat kemiskinan melebihi paras nasional

BACA LAGI: 'Kalau jodoh... apa salahnya', Sanusi jawab dakwaan kahwini wanita Pahang

1

Semakan rentas kementerian perlu lebih kerap dilaksanakan agar tidak memperlihatkan tataurus yang berterabur.

"Dalam usaha menoktahkan kemiskinan di seluruh negara, tumpuan diberikan kepada negeri dan wilayah yang mempunyai peratusan kemiskinan tegar lebih tinggi melebihi paras nasional," katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanyakan negeri yang menjadi sasaran kerajaan dalam usaha mencapai sifar miskin tegar dan pelan tindakannya.

Laporan yang dibentangkan Hanifah Hajar itu bagaimanapun menimbulkan lebih banyak persoalan, selepas Ahmad Fadhli memaklumkan timbul kekeliruan terhadap beberapa angka dan fakta yang diberikan.

Menurutnya, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu menyatakan bahawa beberapa negeri sudah mencapai sifar miskin tegar.

Jelas beliau lagi, beberapa negeri telah mengisytiharkan sudah tidak ada lagi miskin tegar di negeri masing-masing, dengan terbaharu di Pahang.

Ahmad Fadhli Shaari (PAS KELANTAN)at  the 60th PAS Muktamar gathering at Parit Raja in Batu Pahat on Sept 19, 2014.Pic by ABDUL RAHMAN EMBONG/The Star.

Ahmad Fadhli.

“Saya merujuk kepada laporan yang disiarkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) pada 15 Jun 2024, baru dalam dua minggu lepas bahawa miskin tegar di Malaysia pada hari ini masih lagi ramai.

“(Bagi) ketua isi rumah miskin tegar hari ini ialah 40,861. Bahkan kalau kita lihat dalam data ini di Pulau Pinang miskin tegar (adalah sebanyak) 2,470, manakala Kelantan (1,613), ini salah satu contoh.

“Soalannya ialah kenapa data di JPM berbeza dengan data yang dikemukakan Kementerian Ekonomi? Adakah data ini tidak betul atau di Kementerian Ekonomi tidak betul, atau dua-dua tidak betul?" soalnya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan untuk menyatakan jumlah sebenar golongan miskin tegar di Malaysia berikutan perbezaan data antara JPM, dengan ICU JPM dan juga data di Kementerian Ekonomi.

Mengulas lanjut mengenai situasi itu, Ahmad Fadhli berpandangan, perbezaan itu mungkin wujud disebabkan Kementerian Ekonomi sendiri tidak ingin mengiktiraf statistik yang dikeluarkan oleh JPM berdasarkan data e-kasih.

5

Kerajaan perlu menyatakan jumlah sebenar golongan miskin tegar di Malaysia.

"Keadaan ini berisiko menyebabkan polisi bantuan daripada kerajaan menjadi bertaburan.

"Kerajaan dilihat tiada pelan tindakan yang jelas dalam menentukan kategori mana yang sepatutnya mendapat bantuan.

"Oleh itu, semakan rentas kementerian perlu lebih kerap dilaksanakan agar tidak memperlihatkan tataurus yang berterabur," katanya kepada Majoriti.

Pada masa sama, bekas Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu turut menggesa agar kerajaan bersifat lebih telus dalam mengupas isu melibatkan miskin tegar.

"Tidak perlu berpolitik. Jangan kerana nak menampakkan seolah-olah miskin tegar sudah berjaya dibasmi, kerajaan sendiri nafikan data daripada ICU JPM.

"Kalau sesama agensi kerajaan pun sudah tidak sepakat, bagaimana rakyat nak bagi kepercayaan?" tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram