KERAJAAN kini dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar dengan memberi fokus kepada empat negeri yang merekodkan peratusan melebihi paras nasional iaitu Sabah, Kelantan, Sarawak dan Kedah.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, data semasa menunjukkan Sabah mencatatkan peratusan kemiskinan tegar tertinggi iaitu 1.2 peratus.
Menurutnya, ia diikuti Kelantan dengan 0.8 peratus, Sarawak (0.4 peratus) dan Kedah (0.3 peratus).
BACA LAGI: Dakwa Kedah dipaksa jadi miskin hanya pemikiran negatif Sanusi — MADA
BACA LAGI: 'Kalau jodoh... apa salahnya', Sanusi jawab dakwaan kahwini wanita Pahang
Data semasa menunjukkan Sabah mencatatkan peratusan kemiskinan tegar tertinggi iaitu 1.2 peratus.
"Dalam usaha menoktahkan kemiskinan di seluruh negara, tumpuan diberikan kepada negeri dan wilayah yang mempunyai peratusan kemiskinan tegar lebih tinggi melebihi paras nasional," katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanyakan negeri yang menjadi sasaran kerajaan dalam usaha mencapai sifar miskin tegar dan pelan tindakannya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Mukah itu berkata, kerajaan menerusi kerjasama rentas kementerian dan agensi melaksanakan program pembasmian kemiskinan tegar bertujuan meningkatkan peluang pekerjaan dalam kalangan penduduk miskin, seterusnya memperbaiki taraf hidup golongan tersebut.
Beliau menambah, dari segi pelan tindakan, keutamaan akan diberikan untuk memantapkan penyediaan infrastruktur, mengoptimum potensi ekonomi, menambah baik akses perkhidmatan sosial, mempertingkat pembangunan inklusif dan memperkukuh kerjasama antara ejen Persekutuan dan negeri.
Dengan mengambil contoh Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah kendalian Kementerian Ekonomi, Hanifah Hajar memberitahu, program itu berjaya membantu 315 isi rumah miskin tegar, miskin dan B40 di seluruh negara setakat ini.
"Program IPR memberi manfaat kepada golongan miskin, antaranya melalui inisiatif usahawan makanan.
"Pada Januari lalu, terdapat peserta yang mengusahakan mesin layan diri di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang berjaya meraih hasil jualan bulanan berjumlah RM21,900.
"IPR akan dikembangkan dengan pelaksanaan Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) di Kelantan. Dalam hubungan ini, dimohon kerjasama kerajaan negeri untuk memberi pajakan tanah, sekurang-kurangnya bagi tempoh lima tahun bagi pelaksanaan program pertanian," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram