‘Kalau tak guna bahan api seleweng, kenapa ‘panas punggung’ sejak kerajaan Malaysia laksana penyasaran subsidi diesel’


  • Massa
  • Isnin, 01 Jul 2024

Tindakan sebahagian pengusaha bas persiaran pelancong menaikkan kadar harga dilihat tidak wajar.

KENAPA perlu dibebankan kepada pengguna? Sedangkan sebelum penyelarasan subsidi diesel pada 10 Jun lalu pemain industri pembinaan dan pengusaha bas persiaran menikmati keuntungan yang besar daripada subsidi bahan api tersebut.

Begitu cepat mereka mengeluh panjang dan memberi pelbagai alasan untuk menaikkan harga barangan serta bayaran perkhidmatan kepada pengguna, pada masa sama mereka sengaja lupa keuntungan besar yang diperolehi melalui subsidi diesel yang diperkenalkan oleh Kerajaan pada 2001.

Sejak 23 tahun lalu kos bahan api mereka menerima bantuan subsidi kerajaan bagi membolehkan mereka memperolehi keuntungan selain dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

duaa

Semakin banyak penyelewengan melibatkan subsidi bahan api itu berjaya dibongkar pihak penguat kuasa.

Bagi pengguna pula mereka diberi jaminan oleh Kerajaan Perpaduan bahawa penyelarasan subsidi diesel tidak akan membebankan rakyat malah hasil penjimatan tersebut akan dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai saluran yang sedia ada.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, pengenalan subsidi diesel bersasar sudah pasti akan memberi kesan besar kepada pemain industri pembinaan dan pengusaha bas persiaran.

Menurutnya, kenyataan pengusaha bas pelancong yang mahu kerajaan membenarkan mereka menaikkan kadar harga jika rayuan untuk mendapatkan subsidi diesel ditolak, sebenarnya menimbulkan kekeliruan masyarakat terhadap industri perkhidmatan tersebut.

"Perkhidmatan ini telah sekian lama selesa dengan sistem harga diesel bersubsidi yang diamalkan sebelum ini. Namun bagi mereka yang tidak menyalahgunakan pemberian subsidi sebelum ini seharusnya tidak terkesan dengan pengenalan sistem subsidi diesel bersasar yang diperkenalkan.

"Dengan erti kata lain, mereka seharusnya mampu menangani kenaikan harga dengan cara lain dan jika tidak salah guna saluran, sektor komersial tidak perlu merungut jika dilaksanakan rasionalisasi diesel.

“Bagaimanapun, kerajaan masih lagi sedia mendengar pandangan dan nasihat daripada pelbagai pihak agar pelaksanaan ini mencapai objektifnya walaupun ia telah mula dilaksanakan demi kebaikan bersama," katanya kepada Majoriti.

tiga

Hampir semua pengguna diesel di Malaysia menerima manfaat subsidi diesel kecuali sektor komersial.

Mohd Faisol juga mengakui, kos operasi perkhidmatan syarikat bas persiaran akan meningkat disebabkan kenaikan harga diesel.

Bagaimanapun, katanya, tindakan memindahkan beban tersebut kepada pengguna tidak seharusnya berlaku kerana sebelum ini golongan berkenaan menikmati margin keuntungan yang besar.

"Kenaikan harga diesel mungkin hanya menyebabkan mereka memperoleh margin keuntungan yang kecil berbanding sebelum ini tanpa perlu memindahkan kenaikan beban harga kepada pengguna," ujarnya.

Pada masa yang sama, pakar ekonomi tersebut tidak menafikan kewujudan ekonomi bayangan dalam sektor pelancongan termasuk industri pengangkutan di negara ini.

Beliau menjelaskan, keputusan pengusaha bas dan agensi pelancongan di Singapura menaikkan harga perkhidmatan dilihat tidak wajar, memandangkan kenaikan harga diesel di Malaysia tidak memberikan impak besar kepada kos operasi mereka.

empat

Pakar ekonomi tidak menafikan kewujudan ekonomi bayangan dalam sektor pelancongan termasuk industri pengangkutan di negara ini.

Tambah beliau, ini kerana nilai Dolar Singapura (SGD) itu sendiri lebih besar berbanding nilai Ringgit Malaysia (RM).

Mengulas lanjut mengenai ekonomi bayangan pula, beliau tidak menafikan kewujudan aktiviti tersebut dalam sektor pelancongan termasuk industri pengangkutan di negara ini.

"Keadaan ini mungkin bukan satu isu baharu. Mereka telah beroperasi begitu lama, dengan menyalahgunakan subsidi yang sepatutnya hanya dinikmati rakyat.

"Justeru apabila berlaku penyelarasan subsidi diesel, sekurang-kurangnya kerajaan prihatin dan sedar tentang kepentingan menangani isu ketirisan bahan api yang mungkin sudah lama berlaku tanpa disedari.

"Walaupun usaha ini ada kelemahannya juga, namun penambahbaikan pasti akan sentiasa dilakukan kerajaan supaya semua pihak berpuas hati dan rakyat tidak merasai beban kenaikan harga diesel di pasaran," ulasnya.

lima

Mohd Faisol

Bagi Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia, Steven Chong berkata, pihaknya tidak menafikan terdapat segelintir pengusaha bas persiaran dari Singapura yang masuk ke Malaysia untuk mengisi minyak diesel bersubsidi.

Bagaimanapun beliau berpendapat, kegiatan tersebut berkemungkinan berlaku disebabkan pihak berkenaan diberikan permit ke Malaysia untuk tempoh yang agak lama.

“Permit masuk Malaysia mungkin diberi kepada mereka untuk tempoh lama seperti tiga atau enam bulan.

"Sebagai cadangan, sepatutnya kena buat secara ad hoc atau setiap satu permohonan untuk sekali kemasukan sahaja," katanya.

Ditanya sama ada wujud penyalahgunaan diesel bersubsidi di negara ini, Steven memberitahu, aktiviti seperti itu tidak berlaku dalam kalangan pengusaha bas persiaran tempatan.

"Ini tak berlaku sebenarnya," katanya ringkas.

enam

Kenaikan harga diesel di Malaysia tidak memberikan impak besar kepada kos operasi pengusaha bas dan agensi pelancongan di Singapura.

Kenaikan harga diesel di Malaysia tidak memberikan impak besar kepada kos operasi pengusaha bas dan agensi pelancongan di Singapura.

Mengulas mengenai impak harga baharu diesel itu, beliau berkata, sejak 17 Jun lalu, kebanyakan pengusaha bas persiaran sudah mula menaikkan harga tambang, dengan pertambahan sebanyak 20 peratus.

"Bas persiaran menggunakan anggaran 250 liter diesel sehari untuk perkhidmatan pakej pelancongan.

"Kalau dulu kita peruntukkan kira-kira RM600 dalam masa empat hari, namun kini meningkat kurang lebih RM1,100," jelasnya.

Sehubungan itu, Steven turut menyatakan hasrat agar kerajaan membuat pertimbangan untuk meluaskan subsidi diesel kepada pengusaha bas persiaran bagi mengurangkan beban penggiat sektor berkenaan.

"Saya berharap agar pengusaha bas persiaran diberi kelayakan untuk menerima subsidi diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram