SEORANG murid lelaki dipercayai cedera teruk disyaki menjadi mangsa pukul secara beramai-ramai oleh sekumpulan remaja dekat sebuah padang bola sepak di Kota Samarahan, Sarawak pada Rabu.
Pergaduhan terbabit dipercayai melibatkan sekumpulan pelajar dari sekolah sama dan pelaku yang menunggang motosikal dilihat berulang kali memukul dan menendang mangsa sehingga terjatuh di atas jalan.
Tidak dihentikan mana-mana pihak, kejadian itu disaksikan beberapa lagi individu penunggang motosikal di lokasi berkenaan, yang rakan si pelaku.
Mungkin juga ada sebahagian mereka yang enggan masuk campur dengan situasi tersebut.
Rakaman tular berdurasi 19 saat itu hangat diperkatakan warganet dan menerima lebih 100 perkongsian setakat ini.
Dalam pada itu, warganet rata-ratanya mengecam insiden terbabit malah mendakwa pelaku yang berkelakuan samseng, tidak mempunyai lesen motosikal.
"Budak-budak ini bukannya ada lesen semuanya, kalau polis buat pemeriksaan mesti ada yang kena tahan, kes buli dah satu hal," kata Yusuf Ahmad.
"Samseng cuma berani bila beramai-ramai, hakikatnya semua itu pengecut sebab pukul seorang saja, rosak generasi sekarang," ujar Faris Ramlan.
"Umur baru setahun jagung dah nak tunjuk samseng, tak lama lagi mesti kena tangkap semua sebab bukti video jelas ada," tambah Zarizi Zari.
"Makin teruk kes buli sekarang, setiap bulan mesti ada yang peliknya semua dia buat dan dirakam untuk tujuan tular di media sosial," jelas Dhini Raisya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Brodie Anak Brangka mengesahkan kejadian itu dan telah menerima laporan daripada mangsa kira-kira pukul 1 tengah hari pada Rabu.
"Sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah telah menjalankan tangkapan terhadap dua suspek utama yang terlibat iaitu remaja berusia 16 dan 17 tahun.
"Satu kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan yang mana jika sabit kesalahan, membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun, atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
"Manakala Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah pula memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Sarawak dan Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram