Semua kakitangan perlu bersedia beri bantuan perubatan secepat mungkin — BWF


  • Podium
  • Selasa, 02 Jul 2024

BWF akan mengkaji semula secara menyeluruh dasar dan prosedur berhubung bantuan kecemasan. — Gambar hiasan

PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) akan mengkaji semula secara menyeluruh dasar dan prosedur berhubung bantuan kecemasan.

Keputusan itu diambil susulan kematian melibatkan seorang pemain badminton remaja China, Zhang Zhi Jie yang rebah secara tiba-tiba ketika aksi menentang pemain Jepun, Kazuma Kawano dalam Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia pada Ahad malam.

BWF menerusi satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, pihaknya bakal mengambil semua langkah yang perlu bagi mengkaji semula prosedur bantuan kecemasan bersama Badminton Asia dan PBSI.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemain badminton China rebah, meninggal dunia ketika tunggu servis lawan

BACA LAGI: Simpanan berpuluh tahun lesap, atlet badminton wanita negara jadi mangsa sindiket scam

WhatsApp Image 2024-07-02 at 22.53.00

Zhi Jie rebah ketika aksi menentang Kazuma dalam Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia pada Ahad malam.

"BWF sedang menunggu laporan rasmi daripada Badminton Asia dan Jawatankuasa Penganjur untuk mengkaji sama ada prosedur perubatan yang betul diikuti dalam memberikan bantuan kecemasan kepada Zhi Jie ketika dia rebah di gelanggang," katanya.

Menurut badan induk itu, berdasarkan garis panduan, doktor kejohanan atas arahan pengadil bertanggungjawab untuk bertindak terhadap situasi kecemasan di gelanggang.

Ujarnya, ia termasuk serangan jantung dan dalam senario tersebut, mereka perlu memberikan bantuan kecemasan sehingga perkhidmatan perubatan yang betul boleh disediakan.

"Menerusi garis panduan ini, semua kakitangan ditekankan agar bersedia setiap masa untuk bertindak memberikan bantuan perubatan yang diperlukan secepat mungkin.

"Selepas penilaian selesai, kami akan menentukan sama ada aspek tertentu dalam garis panduan perlu diubah," jelasnya.

Majoriti pada Isnin melaporkan, sewaktu kejadian, Zhi Jie dilihat menunggu pukulan servis daripada pemain lawan sebelum tiba-tiba rebah di gelanggang.

Pemain muda itu kemudian dikejarkan ke hospital, namun meninggal dunia pada pukul 11.20 malam, waktu tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram