RAKYAT Malaysia yang melawat atau menetap di rantau Timur Tengah digesa untuk mendaftar dengan Kedutaan Malaysia dengan kadar segera sekiranya masih belum berbuat demikian.
Wisma Putra menerusi kenyataan pada Selasa memaklumkan, tindakan itu akan memudahkan pihak kedutaan memanjangkan bantuan konsular dengan segera jika perlu.
“Rakyat Malaysia yang bermastautin atau melancong ke rantau tersebut dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan ikuti perkembangan terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan yang berkaitan,” katanya.
BACA LAGI: Protes perang Gaza di UCLA makin serius, seorang tercedera khemah kena ceroboh pro-Israel
BACA LAGI: [VIDEO] Tidak harus hukum renjis kereta elak musibah, jelas Jabatan Mufti Selangor
Menurut Wisma Putra, pihaknya sedang memantau rapi perkembangan semasa di rantau Timur Tengah.
Jelas kenyataan itu lagi, Malaysia secara berterusan menyeru kepada gencatan senjata di Gaza dan semua pihak yang terlibat perlu meredakan ketegangan supaya situasi tersebut tidak merebak.
“Mengambil kira perkembangan ini, kerajaan Malaysia komited dalam memastikan keselamatan semua warganya terus terpelihara.
“Kerajaan Malaysia melalui pejabat-pejabat kedutaannya terus berhubung rapat dengan warga Malaysia yang telah berdaftar dan bantuan konsular akan disalurkan dengan segera sekiranya diperlukan,” tambahnya.
Menurutnya, senarai Pejabat Kedutaan Malaysia di luar negara boleh diperoleh melalui laman sesawang Kementerian Luar di www.kln.gov.my.
"Kerajaan akan memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia terus terpelihara.
Sebelum ini, agensi berita antarabangsa melaporkan pelbagai negara menyeru rakyat mereka meninggalkan Lubnan di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai perang antara Israel dan kumpulan Hizbullah.
Antaranya termasuk Kedutaan Arab Saudi di Beirut pada Sabtu yang menggesa rakyatnya yang kini berada di Lubnan meninggalkan wilayah itu dengan segera dan menekankan keperluan untuk terus berhubung dengan kedutaan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Jerman, Kanada, Amerika Syarikat, Ireland, Jordan dan United Kingdom juga meminta rakyatnya meninggalkan Lubnan secepat mungkin.
Amaran itu dibuat selepas Kuwait menggesa rakyatnya pada 22 Jun untuk mengelak perjalanan ke Lubnan dan mereka yang berada di dalam negara itu meninggalkan negara itu secepat mungkin "memandangkan situasi keselamatan yang berlaku di rantau itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram