Protes perang Gaza di UCLA makin serius, seorang tercedera khemah kena ceroboh pro-Israel


  • Benua
  • Rabu, 01 Mei 2024

Berlaku pertempuran ganas di antara penunjuk perasaan pro-Israel dan pro-Palestin di UCLA, California pada Rabu. 

PROTES di Amerika Syarikat (AS) tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda apabila berlaku pertempuran ganas di antara penunjuk perasaan pro-Israel dan pro-Palestin di UCLA, California pada Rabu.

Menurut laporan, keadaan huru-hara tercetus pada malam Selasa ketika sekumpulan penunjuk perasaan Pro-Israel mengepung sebuah perkhemahan pro-Palestin di kampus UCLA.

Situasi itu berpanjangan hampir dua jam setengah hingga keadaan di kampus tersebut dianggap tidak selamat seperti yang dinyatakan oleh Ahli Majlis Bandaraya Los Angeles, Katy Yaroslavsky dalam laman X.

BACA LAGI: [VIDEO] Tidak harus hukum renjis kereta elak musibah, jelas Jabatan Mufti Selangor

Liputan televisyen menerusi helikopter menunjukkan bunga api dinyalakan selain tembakan gas pemedih mata dilepaskan kepada penunjuk perasaan.

Penunjuk perasaan pro-Israel turut membunyikan muzik yang kuat diikuti dengan siren serangan udara diperdengarkan melalui pembesar suara berhampiran khemah orang yang menyokong Palestin.

Tidak hanya itu, tentera Pro-Israel melakukan pencerobohan di sekitar pengadang di kawasan perkhemahan masyarakat yang menyokong Palestin.

Bahkan mereka juga cuba menanggalkan khemah-khemah yang sudah didirikan.

Difahamkan, sekitar pukul 12.30 pagi Rabu, terdapat seorang individu cedera dan dikejarkan ke hospital dengan menggunakan ambulans.

Pada ketika itu, masih belum terdapat anggota keselamatan yang ramai tiba di lokasi berkenaan meskipun keadaan semakin serius.

BACA LAGI: [VIDEO] Leftenan Muda Chan Ming Youn 'terima tabik' orang ramai

Naib Canselor Komunikasi Strategik UCLA, Mary Osako memberikan kenyataan melalui e-mel kepada akhbar kampus Daily Bruin, dengan mengatakan bahawa pihaknya menghubungi penguat kuasa untuk membantu meredakan ketegangan.

Dilaporkan, selain dua kumpulan penunjuk perasaan yang berada di lokasi terbabit, ramai pelajar mengambil kesempatan meninjau sekitar lokasi kejadian untuk merakam pergaduhan itu tanpa turut serta dalam kekecohan terbabit.

Sebelum ini, penunjuk perasaan yang menentang pencerobohan Israel ke Gaza menuntut gencatan senjata dan pelupusan aset universiti dalam syarikat yang terlibat dengan tentera Israel.

Golongan Pro-Palestin turut menentang bantuan ketenteraan AS kepada Zionis dengan berharap agar bantuan itu ditamatkan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram