[VIDEO] Tidak harus hukum renjis kereta elak musibah, jelas Jabatan Mufti Selangor


  • Mukmin
  • Isnin, 29 Apr 2024

Merenjis atau membilas kenderaan bagi mengelakkan musibah adalah sesuatu yang tidak disyariatkan dalam Islam.

PERASAN atau tidak, masih ada segelintir masyarakat yang melakukan amalan nenek moyang dengan bertindak menyiram atau merenjis air jampi ke atas kenderaan mereka.

Tujuannya, konon untuk mengelak musibah seperti kecurian, kemalangan, kerosakan dan sebagainya.

Buktinya, menerusi laman Tiktok, seorang pengguna, Tuan Guru Baba Ismail memuat naik aksi merenjis air jampi ke atas persekitaran kereta iaitu pada tayar beserta bonet kereta.

Amalan itu menjadi perdebatan ramai yang menganggap sebagai khurafat dan pelik.

"Sudah 2024, masih ada lagi amalan khurafat macam ini ya," tulis Rahmat Raman.

BACA LAGI: Menyusu bayi 'direct' atau botol, ibu kena fahami dulu fitrah anak

Namun, apakah hukum sebenar bagi merenjis kenderaan dengan tujuan untuk mengelak musibah seperti kemalangan, kecurian, kerosakan dan sebagainya?

Apakah pula hukum menyiram/merenjis kenderaan kerana mengesyaki kenderaan yang digunakan terkena ain?

Menjawab persoalan itu, memetik Jabatan Mufti Negeri Selangor, perbuatan merenjis atau membilas kenderaan bagi mengelakkan musibah adalah sesuatu yang tidak disyariatkan dan hukumnya tidak harus kerana menimbulkan fitnah dan tohmahan terhadap masyarakat Islam.

Jika berlaku sesuatu musibah ucaplah sebagaimana firman ALLAH SWT;

لذِين إِذا أصابتهُم مُصِيبة قالُوا إِنا لِلهِ وإِنا إِليهِ راجِعون

Maksud: “(iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan ALLAH dan kepada ALLAH jualah kami kembali”. (al-Baqarah: 156)

BACA LAGI: Awasi 'screen time', kedekut dan tenang antara 7 cara kawal anak ketagihan gajet ketika musim perayaan

Ada juga yang menggunakan cara ini yang dikatakan dapat mengelakkan penyakit Ain namun tindakan ini tidak harus.

Cara menghindari daripada penyakit Ain bukanlah dengan menyiram/ merenjis air ke kereta. Caranya ikutlah panduan yang telah dinyatakan dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abi Said RA;

كان رسول الله ﷺ يتعوذ من عين الجان ثم أعين الانس. فلما نزل المعوذتان أخذهما. وترك ماسوى ذلك

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berlindung diri kepada ALLAH dari penyakit pandangan jahat jin dan juga manusia. Maka ketika turun surah al-Muawwizatan (iaitu surah al-Falaq dan surah an-Nas) baginda mengamalkannya dan meninggalkan yang lainnya” (Riwayat Ibnu Majah)

Justeru, amalkanlah bacaan surah al-Falaq dan surah an-Nas sebagai pelindung diri dari kejahatan jin, manusia dan makhluk lainnya.

Hal ini kerana, jika orang Islam sendiri percaya dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya maka tiada beza agama Islam dengan agama lain.

Sedangkan Islam telah memberikan panduan untuk berkenderaan dengan membaca dan mengamalkan doa sebagaimana firman ALLAH SWT;

والذِي خلق الأزواج كُلها وجعل لكُم مِن الفُلكِ والأنعامِ ما تركبُون لِتستوُوا علىٰ ظُهُورِهِ ثُم تذكُرُوا نِعمة ربِكُم إِذا استويتُم عليهِ وتقُولُوا سُبحان الذِي سخر لنا هٰذا وما كُنا لهُ مُقرِنِين وإِنا إِلىٰ ربِنا لمُنقلِبُون

Maksudnya: “Dan (Dia lah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya; dan Ia mengadakan bagi kamu kapal-kapal dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya, supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan: "Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya -"Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!" (Az-Zukhruf: 12 – 14)

Selepas semua usaha dilakukan seperti memastikan kenderaan diservis, memandu secara berhemah, mematuhi isyarat di jalan raya, maka barulah bertawakal kepada ALLAH SWT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram