Tunggu saya berlari dulu — Fadillah


  • Primer
  • Isnin, 01 Jul 2024

Fadillah enggan mengulas lanjut mengenai peruntukan yang disalurkan kepada ahli Parlimen pembangkang.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof enggan mengulas lanjut mengenai peruntukan yang disalurkan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu sebaliknya hanya berseloroh ketika ditanya pengamal media.

"Tunggu saya berlari dulu," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Koperasi Gabungan Pemandu-Pemandu Ahli Parlimen Malaysia (GPMP) Berhad di Dewan Serbaguna, Kompleks Parlimen pada Isnin.

BACA LAGI: Fadillah buktikan diri ‘orang bekerja’

BACA LAGI: Anggap dah keluar blok pembangkang, Speaker mudah nak umum kekosongan kerusi 6 MP BERSATU — Shahrir Samad

Pada Mei lalu, Fadillah memaklumkan, draf Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sedang dimuktamadkan.

Ujarnya, draf tersebut akan diserahkan kepada majlis tertinggi semua parti politik kerajaan dan pembangkang untuk diluluskan, sebaik sahaja ia siap.

Majoriti pada Isnin melaporkan, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya menamatkan larian sejauh 200 kilometer (km) dari Muar, Johor ke bangunan Parlimen di Kuala Lumpur sebagai tanda protes terhadap kegagalan kerajaan menyalurkan peruntukan kepada pembangkang.

Menerusi inisiatif berkenaan, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berjaya meraih sumbangan sebanyak RM160,000 setakat pagi Isnin.

Beliau berkata, diharapkan agar tindakannya itu berupaya membuka mata semua pihak berhubung isu diskriminasi peruntukan Ahli Parlimen pembangkang yang masih berlarutan sehingga kini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut mendakwa peruntukan yang sepatutnya diterima pihak pembangkang sebagai wakil rakyat sudah dilencongkan.

"Peruntukan tersebut dilencongkan dengan menyalurkannya kepada parti politik yang menyokong Kerajaan Perpaduan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram