Anggap dah keluar blok pembangkang, Speaker mudah nak umum kekosongan kerusi 6 MP BERSATU — Shahrir Samad


  • Politik
  • Ahad, 23 Jun 2024

Speaker Dewan mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan sama ada berlaku kekosongan terhadap kerusi enam MP BERSATU. — Gambar hiasan

TINDAKAN Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk mengumumkan kekosongan kerusi enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang telah hilang keahliannya dianggap sangat mudah untuk dilakukan.

Menurut veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad, ia merupakan tindakan berasas selepas semua Ahli Parlimen terbabit dipindahkan tempat duduk dalam Dewan Rakyat yang sebelum ini berada di blok pembangkang.

Katanya, Speaker juga sudah menganggap mereka sudah terkeluar dari blok pembangkang.

BACA LAGI: Notis telah dihantar, Speaker Dewan Rakyat tiada pilihan kecuali isytihar kekosongan 6 kerusi MP BERSATU

BACA LAGI: BERSATU akan hantar surat kepada Speaker, beri notis keahlian gugur sehari 2 lagi — Muhyiddin

981932

Shahrir Samad. — The Star

"Maka, Speaker pindahkan tempat duduk mereka ke luar dari tempat duduk pembangkang. Maknanya dah 'lompat' jadi bebas.

"Speaker mudah sangat hendak melangkah setapak lagi dengan mengistiharkan kerusi-kerusi mereka pun berlaku kekosongan," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut tentang hak dan tanggungjawab Speaker Dewan dalam menentukan sama ada berlaku kekosongan luar jangka terhadap enam ahli tersebut.

BERSATU sebelum ini mengumumkan bahawa sudah menghantar notis kepada Speaker Dewan berhubung perkara tersebut pada Khamis lalu.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee memaklumkan, notis itu membabitkan kekosongan kerusi Parlimen Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Labuan itu juga telah ditandatangan olehnya selaku Ketua Whip parti.

Beliau juga secara prinsipnya yakin bahawa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari mahu memastikan badan Legislatif bebas daripada pengaruh politik kepartian dengan menghormati keluhuran Perlembagaan dan menjunjung kedaulatan undang-undang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram