Fadillah buktikan diri ‘orang bekerja’


  • Primer
  • Khamis, 30 Nov 2023

Fadillah merupakan Ahli Parlimen Petra Jaya sejak 2004 dilantik sebagai TPM dalam Kabinet Perdana Menteri ke-10.

"JAWATAN sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) bukan untuk dibanggakan tetapi ia adalah amanah rakyat dan negara yang harus dipikul sebaik mungkin.

Demikian bait-bait kata daripada Datuk Seri Fadillah Yusof selepas beliau dilantik sebagai TPM dalam Kabinet Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ia satu tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan istiqamah, ikhlas dan jujur demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara.

“Tanpa mengira bangsa, agama dan merentasi fahaman politik, semoga kita dapat bersama-sama membina Malaysia yang stabil, maju dan makmur berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara,” kata Fadillah susulan pengumuman barisan jemaah menteri di Putrajaya pada 3 Disember 2022.

Sejarah yang dilakar Fadillah, 61, dalam politik Malaysia membuka mata ramai selepas beliau membuktikan perjalanan politik sejak 1989 membuahkan hasil apabila menjadi rakyat pertama dari wilayah Borneo yang dilantik sebagai TPM.

20230327120220_FYSF3322

Fadillah melakar sejarah dalam politik Malaysia selepas menjadi rakyat pertama dari Borneo dilantik sebagai TPM.

Tidak hanya sebagai timbalan ketua kerajaan, Fadillah juga menganggotai Kabinet Kerajaan Madani sebagai menteri selepas Anwar menamakan penyandang Ahli Parlimen Petra Jaya sejak 2004 itu sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

Dengan amanah baharu yang lebih berat dan mencabar daripada Perdana Menteri ke-10 itu, Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Muslim Kampung Gita, Matang itu membuktikan mampu memikul tanggungjawab tersebut sebagaimana kecemerlangan yang ditunjukkannya selama ini.

Berbekalkan pengalaman sebagai Menteri Kanan yang setaraf jawatan TPM dalam Kabinet dua bekas Perdana Menteri sebelum ini, Naib Presiden Kanan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu membuktikan kewibawaan dalam kepimpinan beliau.

Walhasil selepas hampir setahun berlalu, Fadillah bersama Perdana Menteri dan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan dilihat membuat kemajuan ketara dalam mendepani pelbagai cabaran negara di peringkat tempatan dan global untuk membawa Malaysia kembali ke landasan menuju sebuah negara maju.

Ini secara tidak langsung membuktikan kepercayaan yang diberikan terhadap Fadillah untuk memegang dua portfolio penting dalam Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Anwar tidak disia-siakan oleh anak kelahiran Sibu, Sarawak itu.

Selesaikan tuntutan MA63

Di samping dua jawatan penting berkenaan, Fadillah juga sebenarnya menyandang tugas lain sebagai pengerusi bagi 19 buah jawatankuasa dengan salah satunya ialah Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan (MTP) Perjanjian Malaysia (MA63).

Tanggungjawab itu dipikul dengan cemerlang apabila Anwar menyifatkan hampir keseluruhan permasalahan melibatkan perjanjian MA63 selesai dengan baik.

20230506193515_FYSF1747

Fadillah (kanan) tentunya mahu mengimbangi peranan sebagai TPM untuk seluruh rakyat Malaysia dengan hasrat dan aspirasi rakyat Sarawak, turut tidak dilupakan.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir menyifatkan pelantikan bekas peguam dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya itu melakar sejarah tersendiri bagi mengukuhkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung dalam pembentukan Malaysia.

"Saya percaya (Datuk Seri) Fadillah dilantik untuk memberi penumpuan, menjadi pemudah cara kepada penyelesaian hal-hal berkaitan Sabah, Sarawak kerana dengan pengalaman berada dalam dan luar kerajaan, pasti (Datuk Seri) Anwar tahu perlunya ada 'orang tempatan' menguruskannya," kata beliau.

Menjadi pemimpin kedua tertinggi dalam Kerajaan Persekutuan ketika ini, pastinya Fadillah mahu mengimbangi peranan sebagai TPM untuk seluruh Malaysia dengan kehendak, hasrat dan aspirasi rakyat Sarawak, turut tidak dilupakan.

Justeru, dalam menerajui Jawatankuasa Teknikal MA63, Fadillah juga mempengerusikan jawatankuasa teknikal mengenai cadangan memberikan Sarawak kuasa autonomi berhubung kesihatan dan pendidikan.

Permintaan autonomi itu adalah dua daripada tiga isu baharu yang dibentangkan pada mesyuarat sulung Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 pada 20 Januari di Kuching dengan perkara itu dimasukkan dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962 yang menjadi asas kepada MA63.

Satu lagi tuntutan baharu berkaitan MA63 yang sedang diusahakan beliau ialah penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri Sarawak.

Urus 19 jawatankuasa

Dengan portfolio sebagai Menteri Kanan Kerja Raya dan Menteri Kanan Infrastruktur sebelum ini, beliau telah terlibat secara langsung dengan enam tuntutan asal Sabah serta Sarawak sudah diselesaikan sepenuhnya.

Antara yang dilangsaikan ialah mengiktiraf Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182 serta penyerahan kuasa kawal selia Gas Petroleum Cecair (LPG) kepada Sarawak.

Fadillah sendiri memberi jaminan bahawa kerajaan terus komited untuk memastikan segala perjanjian dalam MA63 dilunaskan, namun tempoh masa penyelesaian setiap tuntutan tertakluk kepada proses perundangan berkaitan selain kesediaan kerajaan negeri dari sudut operasi, sumber manusia dan kewangan.

Tidak terhenti di situ, Fadillah yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut mempengerusikan Projek Mega Sabah dan Sarawak yang mana objektifnya disekalikan Bersama Jawatankuasa Teknikal MTP MA63 dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) bertindak sebagai urus setia.

Fadillah juga mengepalai Mesyuarat Penyelarasan Multi Lane Free Flow Tol di bawah KKR.

H2OC7861

Fadillah (kanan) bersama Anwar dilihat membuat kemajuan ketara dalam mendepani pelbagai cabaran negara.

Bersama Kementerian Dalam Negeri dan KKR sebagai sekretariat, Fadillah mempengerusikan Jawatankuasa Khas bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut mempertanggungjawabkan Penaung Sarawak Volunteers itu untuk menerajui Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang diwujudkan di bawah Belanjawan 2021.

Bagi tahun ini, NEC mengenal pasti sebanyak 49 inisiatif berkaitan pekerjaan di bawah Belanjawan 2023 untuk dilaksanakan oleh 63 agensi pelaksana dan dipantau secara aktif oleh Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) yang bertindak sebagai Sekretariat NEC.

Sementara itu, beliau juga mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet mengenai Dasar Automatif Nasional yang objektifnya memastikan industri automotif tempatan terus berkembang dan kekal berdaya sains di samping memastikan Malaysia menjadi peneraju dalam industri automotif dalam rantau ASEAN.

Lain-lain jawatankuasa yang dipengerusikan Fadillah ialah Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan, Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan dan Jawatankuasa Eksekutif World Expo.

Selain itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara, Majlis Sains Negara, Majlis Biodiversiti Negara, Majlis Mineral Negara, Majlis Statistik dan Data Negara, Majlis Tindakan Ekonomi Negara serta Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Beliau turut dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya yang bertujuan untuk memastikan spesies ikonik Harimau Malaya tidak pupus buat selama-lamanya.

Terbaharu, Fadillah yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan dilantik untuk mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Komunikasi Strategik Kabinet yang objektifnya bagi membincangkan dan mendapatkan maklum balas isu-isu berikut dan merangka strategi komunikasi bersesuaian.

20230520124025_FYSF5029

Fadillah (kanan) bersama-sama masyarakat di Limbang ketika Pesta Badudun (Berkunjung) dan Lumba Kerbau 2023.

Mana mungkin Timbalan Ketua Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat itu mampu menerajui kesemua 19 jawatankuasa berkenaan jika bukan kerana kepercayaan yang diletakkan oleh Anwar terhadap kredibiliti dalam kepimpinannya.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Kedah, Dr Jazimin Zakaria menyifatkan Kabinet Anwar yang dibarisi ramai menteri ‘heavyweight’ termasuk Fadillah memberikan kelebihan dalam aspek pentadbiran.

“(Memiliki) ramai menteri ‘heavyweight’ dalam Kerajaan Perpaduan, ini satu bonus dan hasilnya pelbagai dasar baharu seperti Ekonomi Madani dan lain-lain yang menyentuh kepentingan serta kebajikan rakyat berjaya diperkenalkan dalam tempoh setahun ini,” katanya.

Dengan semua tanggungjawab yang perlu dipikul itu, memang bukan satu tugas mudah untuk Fadillah, namun pengalaman bernilai berkhidmat di bawah empat Perdana Menteri iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, melicinkan urusan pentadbiran Putrajaya.

Bahkan, melalui kepercayaan Perdana Menteri ke-10 terhadap ketokohan kepimpinan Fadillah turut mengesahkan lagi keyakinan yang diberikan oleh tiga lagi Perdana Menteri sebelum ini dalam meneruskan usaha membawa Malaysia ke arah kejayaan lebih cemerlang.

INFO Datuk Seri Fadillah Yusof

Tarikh lahir: 17 April 1962

Asal: Kampung Baru, Sibu

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya

Jawatan dalam kerajaan:

• Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan & Komoditi (3 Disember 2022 – kini)

• Menteri Kanan Kerja Raya (30 Ogos 2021 – 18 November 2022)

• Menteri Kanan Infrastruktur & Menteri Kerja Raya (10 Mac 2020 – 16 Ogos 2021)

• Menteri Kerja Raya (16 Mei 2013 – 10 Mei 2018)

• Timbalan Menteri Sains, Teknologi & Inovasi (19 Mac 2008 – 15 Mei 2013)

Jawatan dalam politik

• Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya (2004 – kini)

• Naib Presiden Kanan Parti PBB (Februari 2018 – kini)

• Ketua Whip Parlimen GPS (Mei 2018 – kini)

INFO Pengerusi Majlis / Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh TPM

1. Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963

2. Projek Mega Sabah dan Sarawak

3. Majlis Pekerjaan Negara

4. Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan

5. Jawatankuasa Kabinet mengenai Dasar Automotif Nasional

6. Majlis Penasihat Perpaduan Negara

7. Mesyuarat Penyelarasan Multi Lane Free Flow Tol

8. Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan

9. Jawatankuasa Eksekutif World Expo

10. Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan

11. Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor

DO01210701

Pengalaman Fadillah berkhidmat di bawah empat Perdana Menteri membantu melicinkan urusan pentadbiran Putrajaya.

12. Majlis Sains Negara

13. Majlis Biodiversiti Negara

14. Majlis Mineral Negara

15. Majlis Statistik dan Data Negara

16. Majlis Tindakan Ekonomi Negara

17. Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri

18. Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya

19. Mesyuarat Pasukan Komunikasi Strategik Kabinet (Stratcomm Cabinet) — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram