[VIDEO] Penunggang maut terpelanting dirempuh pemandu wanita langgar lampu isyarat di Nilai


  • 112
  • Isnin, 01 Jul 2024

Kemalangan itu membabitkan motosikal jenis Honda Vario ditunggang seorang lelaki dengan Perodua Aruz dipandu seorang wanita berusia 39 tahun.

SEORANG penunggang motosikal maut akibat dirempuh sebuah kenderaan yang melanggar lampu isyarat merah di persimpangan Persiaran Teknologi, Bandar Enstek dekat Nilai, Negeri Sembilan pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, mangsa berusia 53 tahun cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, kemalangan itu membabitkan motosikal jenis Honda Vario ditunggang seorang lelaki dengan Perodua Aruz dipandu seorang wanita berusia 39 tahun.

BACA LAGI: [VIDEO] Padah tak berhenti awal, pemandu Honda City rempuh kereta peronda polis di Shah Alam

BACA LAGI: [VIDEO] Bomba guna peralatan khas keluarkan mayat 4 sahabat bertindih dalam kemalangan di Simpang Renggam

WhatsApp Image 2024-07-01 at 10.26.58

Mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati semasa kejadian, pemandu Perodua Aruz dalam perjalanan dari arah Tiara Sendayan menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Wanita berkenaan dipercayai gagal berhenti ketika lampu isyarat merah di persimpangan tersebut lalu melanggar penunggang motosikal yang datang dari arah sebelah kanan.

"Pemandu kereta jenis Perodua Aruz mengalami kecederaan ringan luka-luka di bahagian tangan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Abdul Malik memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 tetapi beliau tidak menyatakan sama ada pemandu tersebut ditahan untuk tindakan lanjut.

Video memaparkan kemalangan tersebut turut dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan lain, sebelum dikongsikan di laman Facebook.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram