[VIDEO] Bomba guna peralatan khas keluarkan mayat 4 sahabat bertindih dalam kemalangan di Simpang Renggam


  • 112
  • Jumaat, 28 Jun 2024

Keadaan kereta yang dinaik kesemua mangsa remuk teruk selepas melanggar tiang elektrik di Jalan Renggam dekat Simpang Renggam pada Khamis. — Facebook

EMPAT sahabat maut selepas Proton Wira yang mereka naiki terbabas lalu melanggar tiang elektrik di Jalan Renggam dekat Simpang Renggam, Johor pada Khamis.

Dalam kejadian kemalangan ngeri itu, keempat-empat sahabat malang itu sedang dalam perjalanan menuju ke sebuah lokasi sebelum kereta mereka hilang kawalan.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan seorang individu yang hanya dikenali sebagai Ali di aplikasi Telegram berkata, kesemua mangsa dilihat bertindih atas satu sama lain dan tersepit dalam kenderaan tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Padah bermulut puaka, enggan bayar hutang lelaki maut dibakar rakan di Kemboja

BACA LAGI: [VIDEO] Pegawai mabuk tidak berbaju tunjuk ves polis di George Town sedang dalam proses tindakan tatatertib

"Kemalangan di Simpang Renggam. Proton Wira 'self-accident' (kemalangan kendiri).

"Tak tahu keadaan mangsa. Nampak teruk," tulisnya.

Ali turut berkongsi satu video memaparkan kemalangan di tempat kejadian.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Shoromi Salih berkata, Mohamad Ziyad Azmi, Ahmad Manan Zaini dan Muhamad Adib Ahmad Shahfarin, semuanya berusia 21 tahun, meninggal dunia di lokasi kejadian

Katanya, mangsa parah dikenali sebagai Nor Aminul Fitri Nor Azmi juga 21 tahun tahun dikejarkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang.

"Bomba menerima panggilan mengenai kejadian pada 11.45 malam dan jentera sampai ke lokasi pada pukul 11.47 malam Khamis.

"Semua mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas.

"Pemandunya tidak dapat disahkan kerana keadaan semua mangsa bertindih ketika ditemukan pasukan bomba," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, operasi membabitkan 14 anggota ditamatkan pada 1.13 pagi Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh mengesahkan mangsa, Nor Aminul meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah HEBHK pada awal pagi Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram