TIGA wanita termasuk seorang kanak-kanak lelaki cedera selepas pacuan empat roda milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 47.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Pahang pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.27 petang Jumaat itu melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan tiga wanita berusia 15 hingga 39 tahun.
"Hasil siasatan awal mendapati MPV terbabit berada di sebelah kiri dari arah Kuala Lumpur menghala Jeli, Kelantan telah bergesel dengan pacuan empat roda yang dipandu sebelah kanan laluan berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Padah bermulut puaka, enggan bayar hutang lelaki maut dibakar rakan di Kemboja
"Pemandu MPV berusia 44 tahun yang juga warga asing dan lelaki berusia 57 tahun yang memandu pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan manakala empat penumpang kenderaan yang terbalik mengalami kecederaan.
"Kesemua mangsa dihantar dan menerima rawatan di Hospital Temerloh," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Jelas Zaiham, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Kita juga memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan," tambahnya.
Terdahulu, tular satu video sejak Jumaat memaparkan beberapa individu tercampak keluar dari pacuan empat roda milik Jakoa.
Kejadian itu berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan lain yang turut berada di lokasi kejadian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram