SEORANG pempengaruh popular dari Taiwan ditahan polis selepas membuat siaran langsung menunjukkan seolah-olah dia menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja baru-baru ini.
Chen Neng-chuan, 31, yang sememangnya terkenal menerusi video berkonsepkan paranormal di Taiwan dan beberapa negara lain sebelum ini dilaporkan pergi ke Taman Kaibo di Sihanoukville, Kemboja secara seorang diri.
Katanya, dia bakal meneroka sisi gelap Kemboja yang mana ramai warga Taiwan telah ditipu dan diperhambakan.
Bagaimanapun, ketika membuat siaran langsung tersebut, dia dikatakan telah ditangkap oleh individu dipercayai anggota kumpulan sindiket berkenaan.
Pada 12 Februari lalu, menerusi klip berdurasi lebih satu jam sembilan minit, kedengaran suara Chen mengerang kesakitan sebelum dan terjatuh hingga mencemaskan pengikutnya di laman maya.
Di akhir video itu, seorang individu mengenakan pakaian lusuh dilihat mengambil kamera dari atas tanah sebelum mematikan siaran langsung tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Influencer lenyap tanpa khabar lepas buat live curi masuk sarang scammer di Kemboja
Keesokan hari, muncul satu video menunjukkan isterinya menangis sambil memberitahu bahawa suaminya telah hilang.
Dia dan seorang lagi pencipta kandungan berkata, Chen berkeras untuk pergi ke Kemboja bersendirian meskipun yang lain membantah.
Pada petang sama, lelaki yang juga dikenali sebagai Goodnight Chicken itu kembali bersiaran langsung, dalam keadaan diam membisu dengan sebahagian kepalanya dicukur dan pakaian koyak serta berdebu.
Dia mendakwa sempat melarikan diri daripada penculik bersenjata di Sihanoukville, sebuah bandar yang terkenal dengan sindiket penipuan warga asing dan menjalankan operasi di seluruh dunia.
"Penculik mengikat saya pada kerusi dalam sebuah bangunan, ketika saya cuba menyelinap ke dalam tempat sindiket penipuan pekerjaan itu," katanya.
Chen (tiga dari kanan) dan rakan subahatnya akan dibicarakan di mahkamah dan dihantar pulang selepas menjalani hukuman. — Agensi
Bagaimanapun, kisahnya yang agak mencurigakan mendatangkan tanda tanya banyak pihak, sebelum mereka mula menggali lebih lanjut tentang perkongsian itu.
Selebriti internet, Liu Yu berhasil menentukan lokasi sebenar Chen di Google Maps dan mendapati Chen sebenarnya mengelilingi satu kawasan di tepi jalan dan bukannya melarikan diri seperti yang didakwa.
Liu juga menyiarkan imej Chen di Facebook sebelum penculikan yang didakwa dalam kenderaan dengan sehelai pakaian lusuh sama seperti yang dipakai salah seorang 'penculik' Chen.
Pakaian itu didakwa disimpan di tempat duduk belakang kenderaan tersebut.
Dia juga mempersoalkan dakwaan Chen bahawa penculik menyamun wang berjumlah ribuan dolar Amerika Syarikat, namun tidak merampas peralatan kamera milik pempengaruh terbabit.
Antara barangan yang digunakan oleh Chen dalam operasi penggambarannya. — Agensi
Polis Taiwan dalam pada itu turut mengesahkan keluarga Chen tidak membuat sebarang laporan polis, manakala Kementerian Luar juga memaklumkan pihaknya tidak menerima permohonan bantuan.
Susulan itu, Polis Kemboja menyiasat media sosial Chen dan rakan subahatnya, YouTuber Taiwan, Anow, sebelum membongkar dakwaan palsu mereka.
Gabenor Preah Sihanouk, Kuoch Chamroeun berkata, kedua-dua mereka dibicarakan di Mahkamah Negeri Preah Sihanou dan akan dihantar pulang selepas menjalani hukuman penjara dua tahun.
"Jika kita melepaskan mereka, akan ada lebih ramai orang membuat dakwaan palsu sama untuk mencemarkan imej Kemboja," katanya.
Selain hukuman penjara, mahkamah turut memerintahkan mereka membayar denda bersama berjumlah AS$2,000 (RM9,554), " katanya.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram