Tok Pa sahkan tak bertanding, 'pencen' daripada berpolitik


  • Politik
  • Jumaat, 28 Jun 2024

Mustapa mengesahkan tidak akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya pada masa akan datang.

BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mengesahkan tidak akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya pada masa akan datang.

Bekas Ahli Parlimen Jeli itu turut memaklumkan bahawa beliau sudah 'pencen' daripada politik.

Menurut Mustapa yang mesra dengan panggilan Tok Pa, keahlian dan jawatannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga sudah dilepaskan sejak September tahun lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Lupakan sengketa, pertemuan mesra TMJ-Sanusi harmonikan arena bola sepak tanah air

BACA LAGI: Sanusi tahu selok-belok bola, tutup ruang pihak ambil kesempatan terhadap KFA

Keahlian dan jawatan Tok Pa dalam BERSATU juga sudah dilepaskan sejak September.

“Saya mengulangi sekali lagi kenyataan yang dikeluarkan pada 2 November 2022 bahawa saya sudah ‘pencen’ daripada politik apabila membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor yang sedia memberi laluan kepada ahli politik berpengaruh, termasuk Tan Sri Annuar Musa dan Mustapa bertanding di Parlimen Gua Musang serta Jeli, jika pilihan raya kecil (PRK) diadakan kelak.

Berdasarkan laporan portal berita tempatan, Kamaruddin berkata, tindakan menghantar Mustapa dan seorang lagi pemimpin ke Dewan Rakyat perlu mendapat persetujuan pucuk pimpinan BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu.

“Kita serah kepada pucuk pimpinan untuk buat keputusan muktamad, jika ada cadangan (calonkan Tan Sri Annuar Musa dan Mustapa)," ujarnya pada Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram