Fitnah TMJ terlibat rasuah RM20 juta cubaan jatuhkan institusi diraja — Onn Hafiz


  • Primer
  • Sabtu, 29 Jun 2024

Dakwaan fitnah terhadap Tunku Ismail tular di aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

FITNAH terhadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Idris yang mengatakan kononnya Baginda terbabit rasuah RM20 juta adalah hasutan jahat dalam cubaan menjatuhkan institusi diraja.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dakwaan fitnah tular di aplikasi WhatsApp itu sikap tidak bertanggungjawab, biadap serta kurang ajar.

Katanya, fitnah itu antara lain menuduh Tunku Ismail Idris terbabit kes rasuah membabitkan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin.

BACA LAGI: Sudah berada di tahap tersendiri, 3 kelainan yang mungkin disuntik JDT, TMJ untuk 2024

BACA LAGI: TMJ kekal teraju JDT - Sultan Johor

WhatsApp Image 2024-06-29 at 4.22.56 PM

Onn Hafiz mengesahkan satu laporan polis sudah dibuat terhadap dakwaan tidak berasas tersebut.

"Kerajaan Johor melihat fitnah ini adalah cubaan hasutan jahat dalam menjatuhkan institusi raja dan sikap yang tidak bertanggungjawab, biadap serta kurang ajar.

"Kerajaan negeri memandang serius terhadap perkara ini yang membabitkan institusi raja dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan isu-isu menggugat keharmonian dan kedaulatan negeri serta negara," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri sudah membuat laporan polis berkaitan perkara itu.

Sehubungan itu, dia menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit menyebarkan hasutan ini.

"Kerajaan Johor berharap isu ini tidak dipanjangkan sehingga menjejaskan kedaulatan institusi diraja, yang mampu mengancam keharmonian negeri dan negara serta kerukunan masyarakat pelbagai kaum," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram