Sudah berada di tahap tersendiri, 3 kelainan yang mungkin disuntik JDT, TMJ untuk 2024


  • Podium
  • Khamis, 10 Ogos 2023

TMJ merupakan seorang pemilik kelab bola sepak yang terus mendahagakan kejayaan buat pasukannya sendiri. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KEMPEN bersejarah berjaya dicatatkan Johor Darul Takzim (JDT) apabila mereka masih belum mencicirkan sebarang mata selepas mengharungi 19 perlawanan Liga Super.

Catatan itu membolehkan mereka terus selesa menduduki tangga teratas carta dengan mereka mempunyai perbezaan mata cukup besar berbanding pencabar terdekat Selangor FC.

Berdasarkan pengiraan, skuad Harimau Selatan hanya memerlukan satu kemenangan dan satu keputusan seri daripada baki tujuh perlawanan musim ini untuk memastikan kejuaraan Liga Super ke-10.

Kejayaan tersebut pasti akan membuka pintu lebih besar buat mereka mengulangi pencapaian pada 2022 yang mana pasukan itu mengungguli kesemua empat kejuaraan domestik.

WhatsApp Image 2023-08-10 at 17.18.41

JDT sudah menjuarai Piala FA dan Piala Sumbangsih musim ini. Bernama

Dengan trofi Piala FA dan Piala Sumbangsih sudahpun menjadi milik mereka, kemenangan dalam kempen Liga Super dan Piala Malaysia hanya akan mengukuhkan legasi mereka sebagai kelab terhebat dalam lipatan sejarah bola sepak negara.

Bagaimanapun, seperti mana sering ditekankan pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris, JDT hanya mahu mencatatkan lebih banyak kejayaan saban tahun.

Cengkaman mereka di peringkat domestik pastinya tidak perlu dipersoalkan memandangkan pasukan Selatan tanah air tersebut sukar diatasi mana-mana lawan yang dihadapi.

Namun, di peringkat Asia, skuad Harimau Selatan masih belum boleh dianggap sebagai sebuah pencabar memandangkan mereka masih belum memiliki pengalaman mencukupi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Melihat kepada pemain dan pihak pengurusan ketika ini, tiada perubahan ketara yang perlu dilakukan pihak pengurusan jika jendela perpindahan liga tempatan dibuka.

Tetapi, berdasarkan pemerhatian, terdapat kemungkinan bahawa empat langkah masih akan diambil JDT untuk meletakkan mereka di tahap lebih tinggi.

1. Membawa masuk pemain berstatus bintang global

Sebelum ini, terdapat khabar angin yang mengatakan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu akan menyambar pemain antarabangsa Colombia, Radamel Falcao.

Di samping kerap bertemu, TMJ juga berkali-kali mengadakan sesi perbincangan bersama ejen penyerang berkenaan untuk melihat kemungkinan khidmatnya dapat dicurahkan bersama skuad Harimau Selatan.

Namun, perpindahan tersebut tidak dapat direalisasikan apabila Falcao memilih untuk menyambung kontraknya bersama kelab Sepanyol, Real Valladolid.

Berdasarkan pendedahan pemilik JDT itu baru-baru ini, penghijrahan berkenaan gagal menemui kata persetujuan apabila pemain berusia 37 tahun tersebut mempunyai permintaan gaji yang tinggi.

FALCAO-TMJ

TMJ (kanan) pernah berpeluang bertemu Falcao sebelum ini.

Jadi, untuk meningkatkan lagi kualiti skuad ketika ini, terdapat kemungkinan bahawa bakal adanya percubaan kali kedua untuk mendapatkan mana-mana bintang bertaraf dunia.

Selain memperkuatkan lagi pasukan, langkah berkenaan akan memacu nilai pasaran JDT dengan nama mereka akan lebih dikenali di peringkat global.

Perkara tersebut juga tidaklah sesuatu yang janggal buat skuad Harimau Selatan memandangkan pasukan terbabit pernah menjadi persinggahan buat bekas bintang bola sepak antarabangsa.

Legenda Argentina, Pablo Aimar dan penyerang sensasi Sepanyol, Dani Guiza merupakan antara contoh terbaik dengan kemasukan mereka memacu nama skuad Harimau Selatan.

2. Rekrut penyerang muda

Melihat kepada aktiviti perpindahan JDT beberapa musim kebelakangan ini, mereka seperti lebih berminat untuk membawa masuk seorang penyerang berusia tetapi berkualiti.

Musim ini sahaja, skuad Harimau Selatan memilih untuk menyambar khidmat dua penyerang kelahiran Brazil, Diogo Luis Santo dan Heberty Fernandes.

Kedua-dua mereka merupakan seorang yang sudah melebihi 30-an, namun cukup tajam setiap kali diberikan peluang cantik di hadapan pintu gol.

Bagaimanapun, risiko terbesar bagi mana-mana pemain berusia pastinya mengenai isu kecederaan dan kecergasan yang mana ia sudahpun dirasai Diogo.

WhatsApp Image 2023-08-10 at 17.21.24

Heberty merupakan bukti JDT berminat mendapatkan penyerang berusia. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Hal tersebut turut dihadapi seorang lagi penyerang pasukan, Bergson da Silva yang tidak dapat diturunkan pada awal musim akibat masalah berkenaan.

Jadi, terdapat kemungkinan kecil bahawa mereka akan mencari solusi terbaik dengan membawa masuk mana-mana peledak lebih muda untuk kekal cergas sepanjang musim.

Pencarian itu pastinya bukan satu masalah buat pasukan memandangkan JDT mempunyai hubungan cukup baik dengan ejen-ejen seluruh dunia, termasuk pencari bakat.

Tetapi, persoalannya, dengan Bergson dan Heberty masih mempunyai bisa tersendiri, adakah mereka akan mengambil langkah tersebut untuk memastikan jentera serangan pasukan tidak terjejas?

3. Sambar lebih ramai pemain tempatan

Selain gemar menyambar penyerang berusia, terdapat trend kebelakangan ini yang menyaksikan skuad Harimau Selatan tidak lagi membawa masuk pemain tempatan.

Berdasarkan aktiviti perpindahan awal musim lalu, JDT hanya membawa masuk penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi sebagai rekrut bukan import.

Di samping lebih mempercayai sumbangan pemain luar negara, keputusan itu dibuat memandangkan graduan akademi kelab cukup memuaskan, seperti Feroz Baharudin dan Arif Aiman Hanapi.

Tetapi, situasi itu berkemungkinan akan berubah melihat kepada kualiti pemain muda tempatan yang semakin kerap mewarnai arena bola sepak tanah air.

azam78_1651729484

Azam Azmi sering dikaitkan dengan perpindahan ke JDT. Facebook/Terengganu FC

Bek kanan Terengganu FC, Azam Azmi Murad serta penyerang Kuala Lumpur (KL) City FC, Haqimi Azim Rosli merupakan antara yang dikaitkan dengan JDT beberapa bulan kebelakangan ini.

Kemasukan mereka bukan sahaja dapat memberi manfaat buat skuad Harimau Selatan kerana pemain-pemain itu akan menjadi lebih baik, sekali gus memperkukuhkan lagi pasukan negara.

Namun, dengan pengurus JDT, Esteban Solari seperti lebih berminat untuk menurunkan pemain import, adakah pihak pengurusan akan mengeluarkan kos dalam menyambar ubi muda tempatan?

Selain itu, skuad Harimau Selatan seperti tidak berdepan masalah dari segi pilihan dengan setiap posisi mempunyai seorang yang mampu mengisi kekosongan sekiranya isu kecederaan berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram