'TIDAK salah landskap bola sepak negara melibatkan pihak kerabat diraja".
Itulah ungkapan daripada pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli berhubung kehangatan Liga Malaysia (Liga M) ketika ini yang membabitkan golongan berkenaan.
Ketika ini, isu hukuman Selangor FC yang dikenakan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hangat diperkatakan di laman media sosial.
BACA LAGI: Konflik hukuman Selangor perlu dihentikan, tidak bagus untuk bola sepak negara — Pakar
BACA LAGI: Masalah dalaman punca Sabah FC terduduk di Terengganu?
TMJ mempersoalkan pendirian MFL yang meringkan hukuman terhadap Selangor FC.
"Tiada salahnya lanskap bola sepak negara membabitkan pihak kerabat diraja.
"Dari dulu pun dah berlaku, asalkan ianya adalah pembabitan secara sihat dan memberi banyak kebaikan kepada sukan itu.
"Kita perlu melihatnya dalam konteks yang positif. Biarlah peminat sukan sendiri yang membuat penilaian pada akhirnya," katanya kepada Majoriti.
Terdahulu, MFL telah mengurangkan hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC susulan ketidakhadiran pasukan itu ke Perlawanan Sumbangsih pada 10 Mei lepas.
Menerusi satu kenyataan pada Khamis, pertimbangan terhadap keputusan itu dibuat sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Justeru, Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan untuk mengurangkan denda kepada The Red Giants daripada RM100,000 kepada RM60,000.
Begitu pun, bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL dikekalkan.
Selain itu, pemotongan tiga mata dan larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super (LS14) melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor juga dibatalkan.
Bercakap mengenai kesukaran penyokong memberi kritikan kepada golongan berkenaan, Pekan menyuarakan pandangan peribadi mengenai perkara tersebut.
"Ada betul dan ada yang tidak betul dengan kenyataan itu.
"Sudah ramai golongan istana sultan dan raja dahulu seperti Sultan Pahang, Sultan Perak, beberapa orang Raja Muda dan Tengku Mahkota dan ramai kerabat lain pernah terlibat menerajui persatuan sukan atau terbabit dengan sukan.
"Ada yang tetap mesra media walaupun sering dikecam. Mereka sudah bersedia dan faham ini yang akan mereka hadapi iaitu kritikan, kecaman dan sebagainya.
"Jika tidak mahu dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Begitulah ibaratnya," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram