"APA yang kita harapkan adalah perang di sosial media ini tidak berlarutan".
Itulah pandangan daripada pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli yang berpendapat bahawa perang di sosial media perlu dihentikan berikutan kes yang melibatkan pasukan Selangor FC.
Menurutnya, penyelesaian segera yang membabitkan semua pihak perlu diadakan agar isu tersebut mendapat sebulat suara.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Messi' Malaysia dikesan di Kampar
BACA LAGI: KDN FC mahu terus biasakan diri menang selepas ‘pecah telor’ — Rezal Zambery
Datuk Dr Pekan berpendapat bahawa perang di sosial media perlu dihentikan. — Astro Arena
"Apa yang kita harapkan adalah perang di sosial media ini tidak berlarutan. Penyelesaian segera membabitkan semua pihak di meja rundingan perlu diadakan.
"Provokasi dan pelbagai prasangka tentang isu ini oleh netizen perlu dikawal dan dihentikan," katanya kepada Majoriti.
Ditanya mengenai tindakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam memberi respons berhubung keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang menukar hukuman kepada Selangor FC.
Pekan berharap agar kemelut antara pihak terbabit menemukan jalan penyelesaian.
"Saya berpandangan biarlah kemelut ini diselesaikan di antara pihak yang dikenakan hukuman dengan pihak yang menjatuhkan hukuman.
"Malangnya, kes ini sudah membabitkan campur tangan pihak istana. Ianya tidak baik untuk bola sepak Malaysia dan juga seperti wujud perang saraf di sosial media.
"Keharmonian institusi diraja perlu kita hormati dan pertahankan. Apa pun masing-masing mempunyai sebab mereka sendiri untuk terbabit dengan isu ini," ujarnya.
Sultan Selangor murka dengan keputusan MFL yang menjatuhkan hukuman terhadap Selangor FC yang dianggap tidak bertanggungjawab.
Terdahulu, MFL telah mengurangkan hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC susulan ketidakhadiran pasukan itu ke Perlawanan Sumbangsih pada 10 Mei lepas.
Menerusi satu kenyataan pada Khamis, pertimbangan terhadap keputusan itu dibuat sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Justeru, Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan untuk mengurangkan denda kepada The Red Giants daripada RM100,000 kepada RM60,000.
Begitu pun, bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL dikekalkan.
Selain itu, pemotongan tiga mata dan larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super (LS14) melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor juga dibatalkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram