PERTELINGKAHAN dalam dunia bola sepak tanah air kelihatan semakin 'toksik' selepas tercetusnya permusuhan antara dua kelab gergasi, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC.
Kedua-dua pasukan yang memiliki sejarah dan kegemilangan tersendiri boleh dikatakan sebagai dua kelab terbaik dalam negara meskipun skuad Harimau Selatan mempunyai kelebihan.
Tetapi, persaingan itu boleh dikatakan semakin tidak sihat kebelakangan ini berpunca daripada keputusan skuad Gergasi Merah menarik diri daripada saingan Piala Sumbangsih.
BACA LAGI: [VIDEO] Bintang Georgia bangga tayang jersi Ronaldo lepas tumbangkan Portugal
BACA LAGI: Lepas persoal layanan Selangor, TMJ dedah perbualan dengan Shahril Mokhtar
Kenyataan Tunku Ismail terhadap keputusan MFL meringankan denda dialami Selangor FC.
Tindakan berkenaan menyaksikan Selangor FC dikenakan denda oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), namun akhirnya diringankan selepas didesak Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Isu tersebut tidak terhenti di situ apabila baru-baru ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Idris mempertikaikan keputusan MFL dan melabel Selangor FC sebagai 'tokong' sebenar bola sepak negara.
Luahan yang dibuat di akaun Instagram Tunku Ismail itu kemudiannya dimuat naik di akaun media sosial skuad Harimau Selatan sehingga mencuri perhatian peminat bola sepak negara.
Perkongsian itu menerima respons hangat dengan beberapa peminat seakan-akan sudah sedikit muak akan pertelingkahan antara kedua-dua figura berkenaan.
Tetapi, di sebalik itu, ada pula yang berbuat sebaliknya dengan mempertikaikan keputusan Sultan Selangor untuk masuk campur dalam arena bola sepak negara.
Permusuhan antara Selangor FC dan JDT sudah berada di satu tahap berbeza ketika ini.
"Saya orang Selangor, saya setuju dengan kenyataan ini (TMJ). Kenapa perlu murka? Kelab lain hadapi denda sebelum ini boleh sahaja mereka hadap seperti biasa. Janganlah guna isu Faisal Halim," kata Moritz Me.
"Ya, akhirnya TMJ bersuara juga. Saya mahu bersuara, tetapi risau ada kata aku tidak hormati Sultan Selangor. Macam tidak adil bukan? Dulu JDT dan TMJ didenda, tenang sahaja dia. Ikutkan, Sultan mana boleh masuk campur hal bola," kata Jai Azan.
"Kredibiliti MFL sudah jatuh ke lantai setelah tunduk tertiarap dengan kuasa Sultan, amat memalukan. Boleh dikatakan sekarang tiada hukuman bagi pasukan yang tarik diri. Bakar suar perlu bayar RM120,000 tetapi tarik diri dikenakan RM60,000 pula," kata Ghaffar Bakar.
Perkara sedemikian seperti tidak selari dengan peribahasa terdahulu, gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah kerana orang ramai sudah terbuka dalam memberikan pandangan masing-masing.
Bagaimanapun, dengan isu berkenaan semakin hangat, adalah lebih baik sekiranya penyokong mengambil pendirian berdiam diri dan lebih berhati-hati ketika memberi komen. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram