SUSPEK yang menghantar bungkusan bom palsu ke bangunan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac) di Putrajaya pada 5 Jun lalu disyaki menggunakan identiti orang lain.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, suspek menggunakan syarikat kurier untuk menghantar bungkusan tersebut.
Menurutnya, individu itu turut dikesan menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pada hari sama.
BACA LAGI: Bangunan Motac terima ancaman bom, kakitangan diarah kosongkan bangunan
BACA LAGI: [VIDEO] Misteri kereta tersadai tepi semak di Pontian, rupanya ada mayat di kerusi tempat duduk
“Kita dapati suspek yang menghantar (bungkusan bom palsu) menggunakan identiti penghantar bungkusan lain.
“Orang itu (identiti sebenar penghantar bungkusan) memang ada namun tidak hadir dan tidak ada kena mengena dengan isu ini.
"Kita ada gambar suspek (rakaman CCTV) namun, ia tidak jelas,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Brickfields, di Kuala Lumpur pada Khamis.
Rusdi memaklumkan, pihak polis sudah pun mendapatkan rakaman CCTV yang memaparkan suspek ketika membawa bungkusan itu kepada syarikat kurier pada 5 Jun lalu.
“Suspek memakai pelitup muka, jaket hitam dan penutup kepala hitam. Inilah orang yang datang, duduk di depan ketika mendaftar barang seterusnya menyerahkan bungkusan ini.
“Dengan bentuk fizikal seperti ini, saya percaya suspek adalah warga tempatan,” ujarnya.
“Kami menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai suspek menghubungi talian 03-2115999 atau balai polis berhampiran,” katanya.
Majoriti sebelum ini melaporkan, kakitangan dan pelawat di bangunan Motac diarahkan mengosongkan bangunan susulan dakwaan ancaman bom yang disyaki diletakkan di tingkat 14 bangunan berkenaan. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram