Sanusi tahu selok-belok bola, tutup ruang pihak ambil kesempatan terhadap KFA


  • Podium
  • Rabu, 17 Mei 2023

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah dilantik menjadi Presiden KFA sejak 2020. — Facebook/KDA FC

PEMIKIRAN dan semangat semua segmen bola sepak di Kedah diharap dapat berubah selari dengan perubahan masa Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang akan menjangkau usia 100 tahun penubuhannya pada 2024.

Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, semua segmen antaranya pihak pengurusan, penaja, jurulatih, pemain dan penyokong perlu lebih matang dan positif demi membantu mengangkat kembali negeri Kedah di persada bola sepak tanah air.

"Bola sepak ini bukan lagi sukan untuk kesihatan tetapi ia telah berubah menjadi industri. Memang ada sisi positif dalam bola sepak ini tetapi sisi gelapnya lebih banyak dan itu yang membuatkan industri bola sepak negeri dan negara rosak.

"Tahun depan, genap 100 tahun KFA, banyak sejarah dan suka duka yang telah dilalui...jadi dengan pencapaian 100 tahun itu, saya berharap pemikiran dan semangat kita semua juga dapat berubah selari dengan perubahan masa ini," katanya semasa berucap pada Majlis Aidilfitri KFA di Alor Setar, Kedah pada Selasa.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, sejak dilantik menjadi Presiden KFA pada 2020, banyak perubahan yang cuba dilakukannya termasuk menutup ruang-ruang kepada pihak yang berniat untuk mengambil kesempatan terhadap persatuan berkenaan.

"Saya tahu selok-belok dalam persatuan bola sepak ... ini tempat untuk orang membina pengaruh dan membawa lari duit, jadi saya matikan, tutup semua ruang yang boleh ditembusi kerana ingin pastikan KFA bebas daripada perkara-perkara yang boleh menjatuhkan bola sepak negeri.

"Menjangkau 100 tahun ini juga, kita telah berjaya mempunyai bangunan sendiri yang akan dinamakan sebagai 'House Of Kedah Football' dan ini akan menjadi mercu tanda kepada persatuan di samping meningkatkan lagi tadbir urus organisasi KFA demi pembangunan bola sepak di Kedah," katanya.

Sebelum ini, Sanusi membuat pendedahan bahawa terdapat pecah amanah berhubung kutipan wang Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bekas pemain KDA FC, Akhyar Rashid yang berpindah ke Johor Darul Takzim (JDT).

Katanya, individu yang bertanggungjawab dalam menguruskan perkara tersebut hanya memasukkan RM10,000 ke dalam akaun kelab dengan selebihnya tidak tahu pergi ke mana.

Bekas Presiden KFA, Datuk Seri Muhriz Mahathir pernah memberitahu yang hasil kutipan RM50,000 untuk kes CAS Akhyar itu sudah digunakan untuk kos guaman pada masa itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram