RM6.98 bilion dikeluarkan daripada Akaun 3 KWSP setakat ini — Kementerian Kewangan


  • Primer
  • Khamis, 27 Jun 2024

Sebanyak RM6.98 bilion telah dikeluarkan daripada Akaun Fleksibel setakat ini, melibatkan 2.93 juta ahli KWSP.

SEBANYAK RM6.98 bilion telah dikeluarkan daripada Akaun 3 atau Akaun Fleksibel setakat ini, maklum Kementerian Kewangan.

Kementerian tersebut menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu memaklumkan, jumlah itu melibatkan 2.93 juta atau 22.6 peratus ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah umur 55 tahun, dengan purata pengeluaran sebanyak RM2,382.

Menurutnya, sehingga 10 Jun, sejumlah RM10.86 bilion amaun pemindahan dilakukan sebagai pilihan ahli bagi mempunyai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel.

BACA LAGI: Penstrukturan semula 3 Akaun KWSP bermula 11 Mei depan

BACA LAGI: Tergesa-gesa mohon FSA2 KWSP nak pakai raya, jangan sampai tertipu khidmat i-Cagar di Facebook

“Ahli boleh memilih untuk memiliki jumlah permulaan dengan memindahkan sebahagian daripada simpanan mereka dalam Akaun Sejahtera (Akaun 2) ke Akaun Fleksibel (Akaun 3) dari 12 Mei hingga 31 Ogos.

“Penstrukturan semula akaun KWSP dilihat tidak memberi kesan ketara kepada kedudukan kewangan KWSP kerana dana telah memperuntukkan semula baki tunai yang mencukupi untuk (memenuhi) permintaan pengeluaran melalui Akaun Fleksibel,” kata kementerian itu.

Members of Malaysia's parliament attend a session of the lower house of parliament, in Kuala Lumpur, Malaysia July 26, 2021. Malaysia Information Department/Nazri Rapaai/Handout via Reuters ATTENTION EDITORS - THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY. NO RESALES. NO ARCHIVES

Kenyataan mengenai jumlah pindahan ke Akaun 3 dibuat menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.

Kenyataan tersebut dibuat sebagai menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH - Bayan Baru) yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan jumlah peratusan ahli KWSP yang membuat pindahan ke Akaun 3, jumlah pengeluaran dan kesan pengeluaran tersebut.

Tambahnya lagi, penstrukturan semula akaun KWSP dilakukan bagi memastikan kesejahteraan kewangan yang mampan dalam tempoh persaraan, sambil mengimbangi keperluan semasa ahlinya.

“Inisiatif tersebut bertujuan membantu meningkatkan simpanan persaraan bagi membolehkan ahli mempunyai pendapatan persaraan yang mencukupi.

“Dengan inisiatif ini, kerajaan berusaha memastikan setiap ahli KWSP dapat menguruskan kewangan dengan yakin dan berdaya tahan dalam persekitaran yang dinamik serta mencabar hari ini,” jelasnya.

Di bawah pelan penstrukturan semula yang berkuat kuasa pada 11 Mei lalu, akaun KWSP dibahagikan daripada dua kepada tiga jenis akaun untuk ahli berumur 55 tahun ke bawah.

Akaun 3 memberi mereka akses kepada dana untuk keperluan kewangan jangka pendek.

Dengan penstrukturan semula akaun, sumbangan bulanan ahli akan disalurkan ke Akaun 1, 2 dan 3 dalam nisbah masing-masing 75 peratus, 15 peratus dan 10 peratus. — The Star/JUNAID IBRAHIM/MARTIN CARVALHO/KHOO GEK SAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

MENYUSUL...