Pesawat ringan mendarat cemas di Pelabuhan Klang ada masalah enjin, 2 juruterbang selamat


  • Massa
  • Khamis, 27 Jun 2024

Pesawat ringan jenis Piper PA-28-161 dilapor melakukan pendaratan kecemasan di satu kawasan lapang di Pelabuhan Klang, Selangor pada Khamis. — Bomba

SEBUAH pesawat ringan jenis Piper PA-28-161 dengan pendaftaran 9M-ANA yang dikendalikan oleh Kelab Penerbangan Subang dilapor melakukan pendaratan kecemasan di satu kawasan lapang di Pelabuhan Klang, Selangor pada Khamis.

Kejadian itu disahkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi satu kenyataan media yang dimuat naik menerusi laman X rasmi, @CAA_Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, pesawat yang dinaiki dua orang individu telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang kira-kira pukul 2.50 petang.

BACA LAGI: Lima maut, 9 cedera babit kes pokok tumbang di KL sejak 2017 — Dr Zaliha

BACA LAGI: Gagal elak lori terbabas, wanita alami keguguran dalam nahas 3 kenderaan di JB

"Menara Kawalan Subang menerima panggilan 'mayday' pada pukul 2.58 petang," katanya menerusi kenyataan media.

Difahamkan, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) CAAM di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) telah diaktifkan pada pukul 3.10 petang selepas menerima maklumat bagi tujuan koordinasi operasi dan menyelamat.

"Siasatan akan dilaksanakan di bawah Bahagian XXIII Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016," ujar Norazman lagi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Razali Wan Ismail berkata, dua juruterbang, Rolando Barba Jr, dan pelatih juruterbang, Muhammad Ridz Farhan Ridzwan dilaporkan selamat dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao dilaporkan berkata, kejadian berlaku berpunca daripada masalah enjin yang gagal berfungsi.

Beliau turut mengesahkan bahawa tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram