Gagal elak lori terbabas, wanita alami keguguran dalam nahas 3 kenderaan di JB


  • 112
  • Khamis, 27 Jun 2024

Kemalangan membabitkan sebuah lori Hino dan dua kereta iaitu Honda BRV dan Honda Accord. — Buletin TV3

SEORANG wanita terpaksa menerima nasib malang selepas mengalami keguguran apabila kereta dinaikinya terbabit dalam satu kemalangan dengan tiga kenderaan di KM36.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di Johor Bahru, Johor pada Rabu.

Mangsa Nurakma Mohd Kalimuddin, 37, yang mengandung enam bulan bersama suami, Abdul Rahman Oyub, 40, dan dua anak lelaki dalam perjalanan ke Kuala Lumpur terlibat dalam kejadian itu pada pukul 11 malam Rabu.

Menurut laporan Harian Metro, Abdul Rahman berkata, ketika kejadian, isterinya yang memandu Honda BRV tidak dapat mengelak sebuah lori Hino yang terbabas memasuki laluan mereka.

BACA LAGI: Lima maut, 9 cedera babit kes pokok tumbang di KL sejak 2017 — Dr Zaliha

BACA LAGI: Sultan Selangor murka keputusan MFL, Shahril Mokhtar letak jawatan dalam FAM

"Kejadian berlaku sekelip mata apabila lori yang hilang kawalan memasuki laluan kami sehingga isteri tidak sempat mengelak.

"Kemalangan menyebabkan isteri yang mengandung enam bulan keguguran dan masih tidak sedarkan diri serta dalam keadaan kritikal.

"Isteri menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) manakala dua anak lelaki di Hospital Kulai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee dalam kenyataan berkata, kemalangan membabitkan sebuah lori Hino dan dua kereta iaitu Honda BRV dan Honda Accord.

Menurutnya, seramai enam mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, wajah dan badan.

"Sebuah lori dari arah utara hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh besi pembahagi jalan di tengah jalan lalu masuk ke arah bertentangan.

"Kereta Honda BRV dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian hadapan lori.

"Sementara, kereta Honda Accord dari arah utara gagal mengelak dan terus merempuh lori.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram