
AKAUN Fleksibel atau Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan akaun baharu yang terdiri daripada 10 peratus jumlah simpanan ahli.
Akaun itu sememangnya bertujuan untuk memenuhi keperluan kewangan jangka pendek ahli.
Simpanan Akaun Fleksibel juga boleh dikeluarkan oleh ahli pada bila-bila masa tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh KWSP.
BACA LAGI: Pesawat ringan mendarat cemas di Pelabuhan Klang ada masalah enjin, 2 juruterbang selamat
BACA LAGI: Jualan diesel turun mendadak bukti subsidi diseleweng — Fuziah
Wang di Akaun Fleksibel yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa. — Gambar hiasan
Pembukaan tersebut menerima sambutan hangat apabila seramai 3.45 juta ahli memilih untuk memiliki amaun permulaan di akaun tersebut setakat 10 Jun lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Khamis memaklumkan, ia membabitkan jumlah perpindahan RM10.86 bilion daripada Akaun Sejahtera yang sebelum ini dikenali Akaun 2.
Beliau berkata, seramai 2.93 juta ahli KWSP sudah membuat pengeluaran melalui Akaun Fleksibel membabitkan jumlah pengeluaran bernilai RM6.98 bilion.
Jumlah tersebut sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi termasuk spekulasi yang mengatakan bahawa ia merupakan bukti masyarakat kini terdesak menggunakan wang.
Pada masa sama, ahli KWSP juga diingatkan tidak membuat keputusan terlalu mudah untuk mengeluarkan wang simpanan mereka.
Namun, terdapat langkah rasional yang boleh diambil ahli KWSP bagi mendapat pulangan balik daripada pengeluaran wang sedia ada melalui dua jenis pelaburan.
1. Unit Trust
Unit Trust atau turut dikenali sebagai Unit Amanah merupakan antara institusi pelaburan di Malaysia yang ditubuhkan untuk mengumpulkan dana daripada pelabur-pelabur dengan modal kecil ke dalam dana amanah.
Dana tersebut kemudiannya akan dilaburkan dalam pasaran saham dan ekuiti oleh Syarikat Pengurusan Unit Amanah bagi pihak pelabur menerusi ikatan amanah.
Ia bermaksud bahawa pelabur memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak pengurus dana bagi menguruskan dan melaburkan wang mereka.
Unit Trust boleh digunakan oleh ahli KWSP. — Gambar hiasan
Bukan itu sahaja, duit KWSP juga boleh dilabur di Unit Trust melalui dua cara iaitu platform i-invest dan Institusi Pelaburan Dana (IPD) atau Penasihat Institusi Unit Amanah (IUTA).
Bagaimanapun, jumlah minimum adalah sebanyak RM1,000 yang boleh melayakkan untuk melabur di dalam Unit Trust.
KWSP juga sangat menitikberatkan agar mereka yang mahu melabur untuk memaksimumkan 30 peratus daripada jumlah simpanan dan perlu melepasi simpanan asas akaun 1 yang ditetapkan oleh KWSP.
2. Skim Persaraan Swasta
Skim Persaraan Swasta (PRS) merupakan skim pelaburan jangka panjang secara sukarela untuk membantu individu menyimpan lebih banyak sewaktu persaraan.
Jenis pelaburan itu juga ditawarkan dan diuruskan oleh Penyedia PRS dan ditadbir oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Platform yang mula diperkenalkan pada 2012 itu turut membantu menggalakkan orang ramai mencarum kepada simpanan persaraan mereka.
PRS antara platform pelaburan yang boleh digunakan dalam jangka panjang. — Gambar hiasan
Pelaburan dalam PRS akan disusun dan distrukturkan mengikut kaedah seperti caruman dibahagikan kepada dua sub akaun.
Pelabur juga hanya boleh membuat pengeluaran sebaik sahaja mencapai umur persaraan.
Mereka pada masa sama dibenarkan membuat pengeluaran sebahagian sebelum itu, tetapi anda akan dikenakan yuran penalti terdapat pengecualian, seperti penghijrahan.
Terdapat juga pelbagai pilihan Penyedia PRS dan dana yang boleh dipilih sendiri, serta dana pilihan automatik yang telah dipilih terlebih dahulu berdasarkan umur pelabur.
Orang ramai bagaimanapun boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut di laman web Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM).— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram